Thursday, January 20, 2011

Aku Yang Masih Di Perjalanan..

Lebih kurang enam bulan dua puluh hari lamanya saya tidak berkarya di sini kalau ditengok dari tarikh terakhir tulisan saya..Ada macam-macam, ribu-ribu dan juta alasan kenapa saya lama tidak menulis. Kalau nak beri alasan sibuk, memang tiada akan habisnya sibuk kita sehari-hari dalam menguruskan kehidupan. Apapun alasannya, sebab-sebab paling utama yang mengekang saya untuk berada di sini apabila komputer riba saya mula memberikan masalah. Nak dikatakan lama sangat hayatnya tidaklah juga..baru masuk 3 tahun usia menggunakannya dan dari jenama yang agak baik juga..Bermula dengan masalah virus, diformat dan diservis entah berapa kali, sampailah saya rasa macam nak buang saja komputer riba tu..rasa patah kaki dan tangan kalau tak dapat menggunakan komputer dan juga menggunakan internet. Dua perkara ini seakan tidak lengkap kalau saya tidak dapat menggunakannya dalam kehidupan saya sehari-hari.
Rasa betul-betul rasa tertekan semasa komputer riba saya ni mula buat masalah besar ketika anak saya Ilyas sibuk menyiapkan kerja kursusnya..Anak lelaki saya yang sorang ni memang relax sangat, bila dah tiba ke saat-saat terakhir nak menghantar kerja kursusnya tu, barulah dia bersengkang mata pagi, petang, siang dan malam ditemani Uminya ni..Terima kasih banyak pada Juhari yang cuba menyelesaikan masalah komputer saya itu di saat-saat saya amat memerlukannya. Namun, tak lama selepas tu,dia buat hal lagi dan akhirnya terpaksalah meminjam komputer riba milik Juhari. Bila sampai ke penghujung penggal persekolahan, Guru Besar saya pula meminta saya menyediakan satu persembahan multimedia untuk dipersembahkan pada hari Pendidikan. Saya memang gembira menerima kerja-kerja yang menggunakan komputer tapi rasa nak menangis ketika itu kerana komputer riba saya masih bermasalah. Akhirnya saya meminjam komputer riba adik saya di Shah Alam buat sementara waktu. Petang selepas suami saya balik dari kerja, kami terus ke Shah Alam dan dah tengah malam apabila kami selamat sampai di Temerloh. Akhirnya alhamdulillah, berjaya juga saya menyiapkan persembahan multimedia tersebut mengikut masa yang telah diperuntukkan oleh Guru Besar. Begitulah, alasan tetap alasan, namun hanya saya sahaja yang benar-benar tahu apa yang berlaku..
Dalam tempoh yang sebegitu lama juga saya mengalami beberapa episod suka dan duka yang akan meninggalkan kenangan dalam hidup saya. Pada 22hb. November 2010, adalah hari yang bersejarah dalam hidup saya kerana saya menerima ijazah saya yang pertama pada hari tersebut setelah bertungkus lumus dan bersusah payah selama lebih kurang 4 tahun mengikuti program Pendidikan Jarak Jauh dengan berulang alik mengikuti tutorial di Institut Pendidikan Tengku Ampuan Afzan di Kuala Lipis. Namun, di saat saya masih dalam mood gembira meraikan kejayaan saya bersama suami dan anak-anak, pada 24hb.November 2010, kami dikejutkan dengan pemergian arwah ibu mertua saya iaitu Yang Binti Hamid. Pada malam sebelumnya, kami baru saja tiba dari Kuala Lumpur, setelah majlis konvokesyen selesai. Arwah mak masa tu baru sahaja 5 hari di rumah kakak ipar saya di Bangi setelah lebih sebulan berada di rumah kakak ipar yang di Muazam Shah. Adik beradik suami saya yang sudah pencen terpaksalah mengambil alih tugas menjaga arwah emak secara bergilir-gilir. Sebelum arwah sakit terlantar, beliau bersama ayah mertua memang agak lama juga tinggal dengan saya sekeluarga. Sekejap-sekejap ke rumah anak-anak yang lain, terutamanya ketika saya menghantar pulang pembantu rumah saya dan sementara mendapatkan pembantu yang baru. Sebenarnya tidak lama selepas saya menulis mengenai Majikan VS Pembantu Rumah, pembantu rumah yang diambil oleh adik beradik suami untuk menjaga emak dan ayah, betul-betul bertahan selama 5 hari sahaja. Melayang begitu sahaja wang beribu yang dibayar kepada agen semasa proses pengambilan pembantu tersebut. Sampai saat saya menulis ni, satu sen pun wang kerugian tidak digantikan semula oleh agen. Tak lama selepas itu,kira-kira lagi sebulan kita umat Islam nak berpuasa, pembantu rumah saya pulak yang lari. Sejak dari itu, urusan penjagaan arwah mak dan ayah menjadi kelam kabut kerana kami semua bekerja..Berapa ribu lagi kami nak hilang duit begitu sahaja?Tak ada jaminan langsung..takkanlah kami perlu mengunci pintu dan semua tingkap semasa kami semua keluar berkerja..memang tak masuk akal..tapi bila memikirkan masalah yang pembantu rumah ni berikan, rasa nak je buat macam tu..kalau lari tu pulak,bukannya dengan tangan kosong..Cerita lari pembantu rumah sayapun sedap juga..permit kerja si Rohani ni sepatutnya tamat pada Mac yang akan datang ni. Dia melarikan diri bersama lelaki yang kononnya telah berjanji akan melangsaikan segala hutang-hutangnya di kampung sebelum beliau datang ke Malaysia. Mengikut cerita Rohani, sebelum ke Malaysia dia bekerja sebagai pembantu membungkus tempe yang diusahakan oleh orang tertentu di kampung halamannya Lombok.
Oleh kerana kehidupannya yang susah dan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, dia membuat keputusan untuk masuk bekerja di sini walaupun dihalang suaminya. Tapi bila di sini dia mula lupa diri dan saya juga buat silap kerana terlalu awal membelikannya sebuah telefon bimbit yang saya fikir supaya hatinya senang dapat menghubungi anak-anak dan keluarga di Lombok. Kesilapan saya ini akhirnya menjerat diri saya di dalam masalah kerana telefon bimbit tersebut telah melalaikan beliau dari tugas-tugas wajib yang sepatutnya beliau tunaikan. Ada 'port' di dapur basah saya untuk dia bergolek-golek sambil ketawa berbual di telefon. Rohani ni buta huruf, tapi tetap boleh menyimpan nombor telefon kerana beliau tidak buta nombor. "Contacts name" hanya di "key in" dengan nombor..memang bijak,tapi hampeh!! Sampai hari ni, saya masih belum ada pembantu rumah yang baru, dan anak-anak sayalah yang menolong saya menyelesaikan kerja-kerja rumah. Apapun, di awal musim persekolahan ini saya terasa agak sukar untuk menyeimbangkan kerja-kerja rumah yang tak pernah habis dengan kerja wajib yang bertimbun di sekolah. Maklumlah,selama lebih kurang hampir 8 ke 9 tahun saya boleh menumpukan perhatian dan menyiapkan kerja-kerja sekolah di rumah kerana ada yang membantu kerja-kerja di rumah saya. Sekarang ni terasalah terkejar-kejarnya.
Namun begitu, masih ada juga penawar di hati saya apabila anak sulung saya memberikan perkhabaran gembira akhir Disember lalu apabila beliau berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang di dalam pemeriksaan PMRnya..Anak saya ni bukanlah pelajar "target" di sekolah sebab tak pernah dapat 8A semasa peperiksaan termasuklah semasa peperiksaan percubaan. Walaubagaimanapun, saya dan suami tetap mengasak beliau di rumah bersama dengan bantuan tuisyen di luar akhirnya alhamdulillah, berjaya jugak dia. Dan pada hari Jumaat yang lalu, Ilyas anak saya tu, bersama adiknya Aisyah demam selsema yang teruk. Mujur saya tidak teruk sangat, boleh jugalah bangun menjaga dua beradik tu. Aisyah sampai masuk wad..Namun dalam keletihan dan kebimbangan menjaga dua beradik yang demam tu, saya sekali lagi mendapat penawarnya..anak saya Muhammad Ilyas ditawarkan ke Tingkatan 4 di salah sebuah sekolah berasrama penuh yang terbaik di negara ini..Alhamdulillah, syukur tidak terkata, semoga anakku Muhammad Ilyas Bin Rosli tidak mensia-siakan peluang keemasan ini dengan menumpukan sepenuh perhatian untuk menduduki SPM lebih kurang dua tahun lagi. Ayuh, kuatlah semangatmu anakku! Umi dan Walid akan sentiasa berdoa untuk kejayaan Arif( Arif ni nickname ) Jadilah pelajar yang terbaik dan cemerlang di situ serta kautlah ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin bersama kawan-kawan dan tenaga pengajar yang terbaik di situ.
Apapun, sebenarnya dalam hati ini amat berat untuk berpisah dengan anak saya ni. Tapi dalam masa yang sama saya mahu beliau berdikari. Saya mahu beliau belajar menguruskan diri sendiri dengan cara yang terbaik dan belajar dengan cara yang terbaik dalam persekitaran yang terbaik. Ya Allah, kupohon kepadamu agar pemudahkanlah segala-galanya buat anak-anakku terutamanya Muhammad Ilyas Bin Rosli yang akan berada jauh dari pandangan mataku ini tak lama lagi. Tak lupa juga buat anak saudaraku Amalina Izyan Ibrahim yang akan berjauhan dengan keluarga kerana akan melanjutkan pelajaran dan terbang ke Australia pada 14 Februari nanti. Umi doakan Izyan berjaya dan yang paling penting, jaga diri baik-baik..Buat anak saudaraku Ahmad Shauqi, tahniah juga dari Umi kerana memperolehi 8A dalam PMR dan berjaya melanjutkan pelajaran ke MRSM Taiping..Belajar rajin-rajin, jangan lupa pengorbanan abah dengan mama yang bekerja pagi, petang siang dan malam demi keselesaan Oki adik beradik. Tahniah dan semoga berjaya semuanya yer...!

No comments:

Post a Comment