Friday, June 25, 2010

Ijan Dan Kenangan Di Lorong Jaya 8 Taman Jaya

Membaca e-mel kiriman Ijan senja semalam, saya tiba-tiba terasa sayu dan sedih di atas perkhabaran yang tidak menggembirakan dari beliau. Ijan ingin memaklumkan bahawa suaminya Murad telahpun kembali ke rahmatullah pada 18hb.Mei yang lalu akibat kemalangan jalanraya di Rawang sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja. Innalillahiwainna ilaihiroji’un…Dalam e-mel tersebut Ijan memaklumkan bahawa beliau ada cuba menghubungi saya melalui telefon tetapi malangnya nombor tersebut tidak lagi saya gunakan. Allahyarham Murad, walaupun tidak saya kenali dengan rapat semasa hidupnya, namun saya telah mengenali beliau sejak arwah belum bernikah dengan Ijan lagi. Ijan dan arwahnya Murad telah berkawan sejak di bangku sekolah lagi di Perak dan saya pula pernah tinggal serumah dengan Ijan beberapa tahun semasa zaman bujang kami. Dari situlah saya mengenali arwah. Selepas mereka bernikah dan mempunyai anak, saya hanya sempat sekali sahaja berkunjung ke rumah mereka semasa mereka masih menetap di Kuala Lumpur.

Berita sedih dari Ijan ini secara tiba-tiba telah mengembalikan nostalgia semasa saya hidup bujang di Kuala Lumpur. Saya mula tinggal di rumah sewa semasa semester akhir belajar di Maktab Perguruan Ilmu Khas ( kini Institut Perguruan ). Di sinilah perkenalan dan persahabatan saya dengan Ijan bermula selain dari Zura, Siti, Anizah, Ida, Liza, Marlina, Ayu, Riyanis, Rohani, Haha dan juga Bazel. Dalam satu masa, kami tinggal 10 orang dalam satu rumah. Ketika itu sewa rumah RM 500 sahaja dan kami berkongsi bayar sebanyak RM 50 seorang. Terlalu banyak kenangan yang sangat manis di antara kami kalau saya hendak kenangkan kembali di sini, walaupun ada juga berlaku masam-masam muka mencuka kadang-kadangnya. Bab bermasam mukapun bukanlah disebabkan hal yang serius sangat…paling tidakpun kerana salah faham…ataupun pasal telefon…!Kabel telefon punyalah panjang dan sudah tentulah ianya “mobile” dari bilik ke bilik..Lama-lama pulak tu..hehe, mulalah yang lain “sakit kepala” menunggu giliran. Saya akhirnya membuat keputusan untuk memasang telefon di dalam bilik untuk kegunaan saya sendiri. Bilik saya adalah bilik yang paling kecil dan saya tidak berkongsi dengan sesiapa. Saya bebas untuk menelefon siapa sekalipun hatta “bergayut” sampai pagi pun tak akan ada yang marah. Paling indah, 8 orang daripada kami adalah pelajar opsyen dan hanya 2 orang sahaja yang bekerja di bank iaitu Zura dan Siti Haida. Seronok tak terkata bila di masa lapang kami akan bermain gitar sambil menyanyi, terutamanya pada waktu malam, ke lapan-lapan orang ada di rumah. Bayangkanlah betapa gamatnya kami dengan 8 buah gitar….selain dari pernah di baling kasut oleh jiran sebelah rumah, keriuhan kami di tengah malam juga pernah diadukan kepada Pengetua Maktab dan Puan Pengetua pada ketika itu telah mengumumkannya dalam perhimpuan bulanan..!Hehehe…seronoknya kalaulah saya dapat kembali ke waktu itu.

Bila musim “poket kembung”, kami akan naik bas atau teksi untuk ke maktab. Sebenarnya jarak dari rumah sewa (di tepi HUKM, Cheras) ke MPIK tidaklah jauh mana untuk berkenderaan dan tidaklah juga terlalu dekat untuk berjalan kaki. Tapi bila hujung bulan sementara menunggu elaun masuk, barulah kami pandai berjalan kaki beramai-ramai ke maktab..yang letihnya bila ada subjek belajar gitar, punyalah penat mengusung gitar kami pergi dan balik dari kuliah. Walaubagaimanapun pada ketika itu, saya agak beruntung kerana ada peminat misteri agaknya..hahaha..Bila naik je Bas 123 dari Cheras ke Jalan Silang atau dari Jalan Silang ke Cheras, saya tidak dikenakan tambang oleh seorang konduktor bas yang tidak saya ketahui namanya sampai ke saat ini dan mengapa beliau begitu bermurah hati dengan saya…Percaya tak, kami langsung tak pernah berkomunikasipun..?! Bila hujung bulan atau poket tengah kering, maka saya akan naiklah Bas 123 yang penuh misteri tu..

Bila menjalani latihan amali dan “posting” di Kuala Lumpur, saya masih meneruskan penggunaan gitar di dalam kelas, namun bila saya mengajar di luar Kuala Lumpur, saya mula “segan” untuk menggunakannya selaras dengan suasana persekitaran yang kurang memberangsangakan untuk bergitar di tambah pula sibuk dengan anak-anak dan menguruskan rumahtangga. Akhirnya, proses pengajaran dan pembelajaran saya tidak lagi menggunakan gitar, sampailah ke hari ini. Namun baru-baru ini agak susah hati apabila Guru Besar saya meminta saya memesan sebuah gitar dari pembekal tertentu dan meminta saya menghidupkan penggunaannya semula..InsyaAllah, saya masih boleh bermain rasanya, cuma perlu berlatih semula. Apapun, ikhlas saya katakan, dalam usia 40an kini, keghairahan saya untuk memainkan alat muzik tersebut telahpun tiada…perasaan saya berbaur…malu, segan dan entah macam-macam rasa lagi.

Hmmm…entah berjela mana panjangnya kalau nak saya tuliskan tentang keindahahan kehidupan saya semasa bujang di Taman Jaya tu..Terubat juga rindu apabila Siti Haida, Azura dan Ijan dapat saya hubungi. Kalaulah Bazel ( Bazlina Abd. Hamid, dari Bachok, Kelantan dan juga Haha dari Selangor ) terbaca tulisan ni, Kak Yong rindu sangat pada korang berdua…jangan lupa hubungi Kak Yong tau!

Tak semua yang ada ni....

2 comments:

  1. kesan muzik kepada matlamat sekolah adalah tempat yang menyeronokkan adalah amat besar sekali...ida, awak antara agen yang akan merealisasikan sekolah adalah tempat yang menyeronokkan...tahun depan tema muzik semua berasaskan dakwah...gitar, organ adalah alat sahaja dan tetapi falsafah disebalik muzik itu yang lebih penting lagi..harap ida dapat bantu...SKTB

    ReplyDelete
  2. InsyaAllah,dengan sokongan cikgu saya akan cuba melaksanakan apa yang terdaya sebaik yang mungkin..terima kasih diatas keperihatinan cikgu

    ReplyDelete