Sunday, May 23, 2010

Majikan VS Pembantu

Setelah beberapa hari di dada akhbar hangat memperkatakan tentang hasil rundingan di antara Kerajaan Malaysia dan juga Indonesia tentang pembantu rumah, sebagai pihak majikan saya juga merasa terpanggil untuk meluahkan rasa hati dan pandangan saya. Dalam masa 10 tahun, pembantu rumah yang ada bersama saya sekarang ini adalah pembantu rumah yang keempat iaitu Rohani. Pembantu yang pertama bernama Shamsiah dari Kisaran, Indonesia namun tidak lama berkhidmat dengan keluarga kami kerana masalah kesihatan. Kepulangan Shamsiah ke negara asalnya telah digantikan oleh agen dengan pembantu yang lebih muda, Tumiasih namanya. Walaupun kelihatannya sangat muda tetapi dalam pasportnya merekodkan bahawa usianya adalah 27 tahun. Namun, Tumiasih juga tidak lama kerana lari mengikut kekasih sekampung yang kebetulan bekerja di kilang berhampiran tempat tinggal saya. Melalui nota yang ditinggal di dalam bilik, beliau sebenarnya baru saja berusia 17 tahun! Namun saya amat bersyukur kepada Allah kerana pada ketika itu beliau tidak membawa lari bersama bayi saya yang berusia lebih kurang 10 bulan. Sarah, bayi saya yang kini telah berusia 10 tahun di tinggalkan begitu saja di tengah rumah dengan pintu yang terbuka. Alhamdulillah, bersyukur sekali lagi kepada Allah kerana saya pulang dari mengajar agak awal pada hari tersebut.
Tumiasih membawa lari bersama pasport yang dicuri dari simpanan saya dan terpaksalah membayar penalti untuk itu apabila proses permohonan mendapatkan pembantu rumah yang baru di buat. Saya rasa semua majikan tidak keberatan untuk membiarkan pembantu berehat sehari pada hujung minggu ataupun menggantikannya dengan sedikit bayaran sebagai ganti tidak bercuti seperti yang telah diputuskan. Bagi saya, jika kita memberikan mereka bercuti bersama pasport mereka samalah juga dengan memberi laluan atau keizinan untuk mereka pergi secara mudah. Selain dari penalti yang sudah tentu akan dikenakan kepada majikan, siapa yang nak tanggung kos kerugian bagi mendapatkan pembantu tersebut? Sekiranya masih dalam perjanjian mungkin kehilangan tersebut akan digantikan oleh agen tetapi pihak majikan tentulah terpaksa menunggu sekali lagi. Inilah yang berlaku kepada pembantu rumah yang diambil oleh keluarga suami saya bagi menjaga ibu dan bapa mertua yang telah uzur. Duit habis beribu, tapi tak sampai seminggu menjaga mereka, pembantu tersebut telah lari kerana kononnya tidak sanggup menjaga orang tua. Sampai hari ini, kami masih menunggu pembantu yang baru dari agen walaupun telah sebulan lebih berlalu. Begitu juga dengan pembantu rumah adik saya yang mana berita mengenainya ada disiarkan dalam Harian Metro beberapa minggu yang lalu. Pembantu yang baru sebulan bersama adik saya dilatih bekerja bagi menggantikan pembantu lamanya yang akan menamatkan kontrak setelah berbelas tahun bekerja dengannya telah lari bersama barang kemas serta ribuan wang ringgit pembantu adik saya bersiap untuk pulang itu. Malang sekali bagi Lili, hasil titik peluh yang dikumpulkan selama berbelas tahun di sini hilang dalam sekelip mata, dicuri oleh rakan senegaranya sendiri. Perkhabaran yang didapati, pembantu yang lari tersebut bukannya lari untuk pulang ke negara asal, namun ke tempat kawan sekampung yang telah menunggu mereka di sini. Walaubagaimanapun pembantu yang lari dari majikan mereka mungkin lupa bahawa pasport yang mereka bawa lari bersama itu bukannya boleh digunakan untuk ke lain negara atau bekerja di tempat lain apabila majikan membuat laporan polis dan membatalkan pasport tersebut dengan pihak imigresen. Jadilah mereka pendatang tanpa izin seperti yang berlaku kepada pembantu saya Tumiasih dulu. Akhirnya beliau ditangkap di Johor tanpa dokumen perjalanan yang sah dan dihantar pulang semula ke negaranya.
Jika pembantu tidak lari bersama pasportnya, risiko kehilangan pasport juga pasti ada. Apabila hilang sudah tentulah majikan yang akan menghadapi masalah besar. Selain dari membuat laporan polis, majikan perlu melaporkannya kepada kedutaan dan perlu melalui beberapa prosedur lagi yang akan menyusahkan majikan. Kemungkinan majikan melengah atau mengabaikan urusan bagi mendapatkan semula pasport baru pasti timbul dan ini akan mengheret majikan ke dalam masalah melindungi serta menggajikan pekerja asing tanpa dokumen yang sah. Hmm..kesianlah kat majikan ni, dahlah duit banyak habis, tidak lepas pula berdepan dengan tindakan undang-undang jika tersalah langkah. Daripada pemberian cuti dan kebenaran untuk memegang pasport kepada pembantu rumah, mengapa pihak kerajaan Indonesia tidak memperjuangkan bahawa pembantu rumah Islam mesti bekerja di rumah orang Islam. Walaupun bukan semua, tetapi saya pernah berbual dengan pembantu rumah yang bekerja di rumah majikan yang bukan Islam bahawa mereka terpaksa memasak makanan yang tidak halal. Itu belum lagi tidak dibenarkan bertudung dan juga berpuasa serta bersolat. Bagi saya, biar jutaan ringgit sekalipun pendapatannya, sebagai seorang muslim, wang pendapatan atau makanan yang dimakan akan menjadi darah daging tiada gunanya jika bercampur dengan halal dan haram serta subahat. Baik majikan mahupun pembantu, bukan semuanya jahat. Dari pengalaman saya beberapa tahun menjadi pihak majikan, pembantu rumah dari seberang ini kita tidak boleh terlalu berkeras dengannya juga tidak boleh terlalu memberi muka kepadanya. Terlalu banyak kerenah mereka yang amat memeningkan kepala yang kadangkala menguji keimanan dan kesabaran kita. Siapa yang ada menggajikan pembantu rumah, tahulah bagaimana keadaannya yang sebenar. Majikan bukannya gila untuk mengamuk atau marah-marah tak tentu fasal kalau segala kerja dilunaskan dengan teratur dan lancar. Sakit kepala dibuatnya kalau dah setahun bekerja tetapi majikan masih kena beritahu apa yang perlu dibuat, apa yang harus dicuci dan sebagainya. Pembantu saya yang sekarang ni, pantang ada peluang, pasti lelap. Macam pagi tadi, semasa saya turun ke dapur untuk menyediakan sarapan, saya lihat dapur masih bergelap. Apalagi, apabila saya melaungkan namanya, melompatlah dia bangun dari tidurnya. Siap ada sudut tidur dan lepak beralaskan karpet lama lagi di dapur basah saya tu!

No comments:

Post a Comment