Thursday, February 4, 2010

Salam Perpisahan Buat Cikgu Ahmad Bin Abd Ghani

Seingat saya, sudah begitu lama sekali saya tidak menitiskan air mata di sebuah majlis perpisahan, hatta di majlis perpisahan saya di SK Batu Kapor baru-baru inipun, biar terasa sedih dan terharu, namun saya tetap dapat bertahan. Walaubagaimanapun, berlainan sekali rasanya hari ini pada majlis perpisahan Guru Besar kami iaitu Encik Ahmad Bin Abd Ghani. Meskipun saya baru sahaja menjadi warga sekolah ini, namun saya dapat merasakan keserasian dan keselesaan berada di bawah pentadbiran beliau yang sangat berwibawa. Apatahlagi guru-guru dan murid-murid yang telah lama bersamanya di sekolah ini. Sebenarnya Cikgu Ahmad juga bukanlah telah terlalu lama berkhidmat di sini, iaitu cuma kira-kira selama 20 bulan sahaja. Namun dalam tempoh sesingkat itu, begitu banyak bakti yang telah ditaburkan buat sekolah ini terutamanya dalam membina kecemerlangan akademik para pelajar. Ungkapan yang amat sinonim dengan beliau yang dilaungkannya kepada para pelajar setiap kali perhimpunan sekolah adalah "Apabila Guru Mengajar, Murid belajar"..Ingatlah pesanan Cikgu Ahmad ni wahai murid-murid SK Tangjung Batu..!Menurut beliau, begitu banyak agenda yang telah dirancangnya untuk pelajar-pelajar SK Tanjung Batu bagi sesi persekolahan tahun 2010 ini, namun, seperti yang telah berulangkali dinyatakannya bahawa sebagai penjawat awam kita tidak dapat menolak atau membantah di mana sahaja khidmat kita diperlukan.


Majlis perpisahan yang serba ringkas dan sederhana namun penuh bermakna telah dimulakan dengan jamuan makan di kantin sekolah. Selain dari meraikan Cikgu Ahmad, majlis turut meraikan seorang lagi guru yang juga tidak dijangka pertukarannya iaitu Cikgu Mohd Nor Bashah Abd Kadir. Selepas makan, kedua-dua orang yang diraikan telah memberikan ucapan terakhir mereka dalam suasana sebak dan terharu. Pada waktu terakhir persekolahan hari ini semua murid-murid dan guru berkumpul di dewan terbuka SKTB untuk perjumpaan kali terakhir dengan Guru Besar. Seperti yang dinyatakan oleh Cikgu Ahmad, Tuan pengerusi Majlis kami pada hari ini sungguh pandai bermain dengan kata-kata sehingga terbitnya rasa sedih dan sayu kepada murid-murid, guru-guru dan juga Guru Besar sendiri. Sebelum acara bersalam-salaman bermula iaitu selepas ucapan Guru Besar kepada murid-murid, pelajar tahun 6 Mutiara telah menyampaikan sebuah lagu yang digubah semula liriknya dari sebuah lagu pop dan diberi tajuk Terima Kasih Cikgu. Saya tidak sempat bertanya siapa yang menggubah semula lirik lagu tersebut, tetapi ternyata lagu tersebut berjaya menyentuh perasaan semua yang ada di situ sehingga menerbitkan airmata..sungguh berbekas di hati. Semasa para pelajar bersalaman dengan Guru Besar, Cikgu Rahana telah menyanyikan lagu Bertemu Dan Berpisah yang mana kemudiannya disambung dengan lagu dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad, iaitu Pelangi Petang..

Ku meniti awan yang kelabu
Ku tempuhi lorong yang berliku
Membawa sinar yang menerangi
Kegelapanku
Ku percaya nanti suatu masa
Sang suria kan menyinar jua
Membawa harapan yang menggunung
Bersamanya
Engkau tiba bagaikan pelangi
Tak bercahaya namun kau berseri
Tapi cukup menghiburkan hati ini
Seharian waktu bersamamu
Tak terasa saat yang berlalu
Bagai Pelangi Petang kau kan pasti
Pergi jua....

Cikgu Ahmad, saya dan warga SKTB yang lainnya mengucapkan selamat bertugas di tempat baru, semoga sihat dan ceria selalu hendaknya...


Penyampaian cenderahati kepada Cikgu Ahmad oleh Ustazah Radziah,
mewakili Badan Keluarga SKTB






Cikgu Mohd Nor Bashah yang turut diraikan


Semoga Berjumpa Lagi, cikgu....

No comments:

Post a Comment