Saturday, February 13, 2010

Dalam Tawa Adakalanya Ada Sendu Yang Tak Dapat Ditepis

Sejak sebulan yang lalu lagi kami telah merancang dan berpakat untuk pulang ke kampung bersama-sama sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina. Itulah meriahnya tinggal di Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan juga perayaan, bukan? Siapa yang tak suka bercuti? Pantang ada peluang! Kerja tu kerjalah jugak, tapi kalau masa bercuti, bercutilah betul-betul..hehe. ada cuti yang tak betul ek? Macam biasa, kalau tidak kenduri secara "rasmi" ( ada jemputan buat jiran tetangga )bila kami berkumpul ramai-ramai, tentulah macam kenduri jadinya. Sejak adik saya memiliki rumah sendiri berhampiran rumah mak, biasanya di rumah beliaulah yang menjadi "port" kenduri kami. Pagi, petang, siang dan malam tak abis-abis kendurinya.."restoran" beroperasi hampir 24 jam...almaklumlah kalau dah ramai. Menu tak semestinya mewah atau terlalu sedap, apa saja yang dihidangkan, mesti langsai. Itupun kami dikira taklah ramai sangat sebab cucu-cucu mak hanyalah 16 orang sahaja, dan tak semua pulak yang balik tu.

Ila macam biasa, balik awal-awal lagi ke sana. Tengahari Jumaat, dah pun berada di kampung. Walaupun suami saya bercuti pada hari Jumaat, saya masih mengajar dan sebelah petangnya baru kami bertolak balik ke Perak. Kereta masih belum banyak di jalanan sebab Tahun Baru Cina jatuh pada hari Ahad, iaitu pada hari ini. Suami meminta saya memandu kereta sehingga ke Genting Sempah kerana berasa terlalu mengantuk katanya. Sampai di Genting Sempah, suami saya masih lena tidur di tempat duduk belakang dan saya mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan. Rasa teruja dan berdebar-debar juga sebab sejauh-jauh saya memandu, tak pernah lagi saya "memanjat" Genting Highlands sebagai jalan pintas untuk ke Batang Kali seterusnya ke Perak. Sayapun mengantuk juga, tetapi bimbang jalanraya akan bertambah sesak dan lambat tiba ke destinasi, saya teruskan juga memandu. Anak sulung saya Ilyas duduk di kerusi hadapan dan saya berbual-bual dengannya sambil makan kacang ketika memandu. Akhirnya, alhamdulillah kerana menjelang maghrib kamipun sampailah di Bidor.
Bayangan adik-beradik yang lain tak ada saya nampak melainkan Ila dengan Azman iaitu adik bongsu saya bersama keluarga mereka. Pada malam itu, memang sah hanya kami tiga beradik sahaja yang ada. Keesokan harinya masa kenduri berjalan barulah adik saya yang tinggal di Kelang iaitu Icam pulang bersama suami dan anak-anaknya. Sebenarnya adik saya Ila buat kenduri kesyukuran dan doa selamat. Tak disangka, ramai juga jemputannya..Selain dari orang kampung dan sanak saudara, 4 buah bas anak-anak yatim dari 4 buah rumah anak-anak yatim yang berhampiran juga turut dijemput dan diraikan. Seronok tengok anak-anak yatim itu gembira dan ceria. Macam-macam ada, ya dik..warung sate, warung abc, juga nasi dengan lauk-pauk yang pelbagai. Alhamdulillah, bersyukur diatas nikmat Allah yang diberikan. Pada masa kenduri begini jugalah kami dapat berkumpul dan berkenalan dengan saudara mara. Percaya tak kalau ada diantara sepupu-sepupu saya yang tidak saya kenali? Kenalah percaya kerana itulah hakikatnya!!

Sebelah ibu saya tak ramai saudara maranya kerana adik beradik ibu saya tidak ramai. Sebelah ayah memang ramai. Datuk saya sebelah ayah mempunyai 4 orang isteri. Sebab itulah ada sepupu sepapat (betul ke ni..hehe) yang tidak saya kenali. Seorang daripada abang kepada ayah saya (satu datuk,lain neneknya),iaitu bapa saudara sayalah, ada 16 orang anak yang yang memang saya akui, entah berapa nama yang saya ingat dan entah berapa orang yang pernah saya jumpa. Pendek kata, kalau jumpa berselisih bahu di jalananpun kami tak kenal. Dahlah masing-masing tinggal berjauhan ditambah pula jarang berkumpul kerana desakan masa dan masing-masing yang mempunyai kehidupan kami yang tersendiri. Kalau ada datang masa majlis kenduri yang macam ni, barulah kami kenal..kalau tidak, langsung tak kenal siapa engkau dan siapa aku. Melihatkan anggota keluarga sebelah saya yang begitu ramai, suami menyarankan saya merekodkan salasilah keluarga. Betul juga tu, takut nanti bila saudara-mara tua dah tiada, bimbang kami tak saling mengenali antara satu sama lain. Ayah saya adalah anak dari ibu pertama iaitu Allahyarhamah Lijah Binti Mat Amin, hasil perkahwinan dengan datuk saya iaitu Allahyarham Haji Abdullah Bin Haji Abdul Rahim.

Usahkan saudara mara, saya dengan adik-beradik saya juga jarang dapat berkumpul sekali. Macam kali ini, adik saya yang keempat bersama keluarganya telah lama tidak saya temui. Paling kerap saya temui hanyalah adik saya yang kedua dan juga yang kelima. Seibu seayah, kami 6 beradik semuanya, tetapi saya mempunyai seorang adik sesusuan. Kami membesar bersama-sama, memang tidak rasa langsung bahawa beliau adalah orang lain. Ibunya yang juga ibu saudara saya, meninggal kerana melahirkannya. Ketika itu ibu saya sedang sarat mengandungkan adik lelaki saya yang ketiga. Beza umur diantara mereka cuma lebih kurang sebulan sahaja. Mereka membesar seolah-olah pasangan kembar dan tiada lebih atau kurangnya layanan antara kami yang diberikan oleh mak dan ayah sejak beliau dibawa pulang ke rumah kami. Sudah bertahun rasanya saya tidak bertemu dengan beliau. Pesanan buatmu wahai adik, ibu yang menyusukanmu tidak pernah meminta untuk dibalas jasanya, namun sudah memadai kiranya kamu dapat menjenguk dan bertanya selalu khabar kerana dia ibuku, adalah ibu yang pernah bersengkang mata menjaga kamu, yang mengambil berat tentang sakit pening serta kebajikan kamu sama seperti kami adik-adik beradik yang dilahirkannya. Sayangilah dia seadanya kerana emak tidak pernah membezakan kasih sayangnya di antara kita..Ingatlah tangan yang pernah memandikan kamu dan menyuapi mulut kamu dengan makanan. Kamu sentiasa dirinduinya...




Di antara sepupu-sepupu yang telah lama tidak saya temui



Letih je muka tuan rumah ni...senyumlah sket..!


Biar penat melayan tetamu, namun tetap gembira..
Izyan, anak saudara saya yang sulung








Di antara anak-anak yatim dan para jemputan yang hadir


Ketika menunggu upacara membaca doa selamat dimulakan

Comelnya dik Ahdia ni ya...

No comments:

Post a Comment