Monday, January 4, 2010

Tinggal Kenangan

Tidak saya sedari masa yang begitu cepat berlalu, tahun 2010 ini adalah tahun yang ke sepuluh saya menetap di Pahang. Setelah beberapa tahun tinggal berjauhan dengan suami, akhirnya pada penghujung tahun 1999 saya dapat juga bertukar sekolah ke Pahang iaitu negeri kelahiran suami saya dan juga tempat beliau bekerja pada masa itu sehinggalah pada hari ini. Ketika itu saya sedang mengandungkan anak bongsu saya Siti Nur Sarah Zulaikha, 5 bulan. SK Desa Bakti adalah sekolah yang pertama saya semenjak saya bertukar ke Pahang dari Selangor. Namun, oleh kerana jarak dari sekolah ke rumah saya agak jauh iaitu lebih kurang 22km, setelah dua tahun di sekolah tersebut, sayapun membuat permohonan pertukaran. Akhirnya saya dapat bertukar ke sekolah lain walaupun saya agak tidak berpuas hati dengan jaraknya dengan rumah saya iaitu lebih kurang 18km...tak jauh bezanya. Bagi saya, alang-alang dah bertukar, biarlah berpuas hati..Bukannya nak mengajar di tepi rumah, tapi kalau jaraknya terbahagi dua dengan jarak yang lama kira oklah jugak. Namun, saya tidak membantah dan tetap melapor diri di sekolah yang baru iaitu SK Batu Kapor, Mentakab. Diam tak diam, tanpa saya sedari, kekal juga saya di sini selama hampir 7 tahun. Dalam tempoh tersebut, saya sempatlah bernaung di bawah pentadbiran 3 orang guru besar dan juga berpuluh-puluh orang guru yang silih berganti di sini. Setelah melalui pelbagai peristiwa pahit manis dan kenangan, akhirnya permohonan pertukaran saya diluluskan oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah Temerloh. Kalau tidak silap anggaran saya, permohonan pertukaran saya ini adalah kali yang keempat. Memang saya sendiri yang memohon untuk bertukar, namun apabila permohonan saya diluluskan, saya terdiam dan perasaan saya berbaur. Antara suka dan duka...suka kerana saya tidak perlu lagi berulang alik untuk jarak yang agak jauh setiap hari, tetapi dalam masa yang sama saya sedih untuk meninggalkan tempat yang saya rasa sudah agak sebati dan serasi bersama..Benar kata bijak pandai, jangan sampai kita merasa "kehilangannya" setelah ketiadaannya..Inilah yang saya rasakan sekarang.


Sekolah baru saya ni memang tidak jauh dari rumah saya..mengambil masa lebih kurang 7 minit dengan jarak lebih kurang 4km..Tidak lagi perlu berdepan dengan sebarang lampu isyarat berbanding dengan dahulu, saya perlu melepasi 8 lampu isyarat jika mengikut jalan dalam bandar dan 3 lampu isyarat jika menggunakan jalan alternatif. Kini saya boleh memandu dengan tenang, bukan lagi seperti dahulu, jika terlewat sedikit keluar dari rumah, saya memandu kereta seakan-akan berlumba sehingga saya digelar sebagai "Formula One Driver" oleh kawan-kawan suami saya yang pernah terserempak dengan saya pagi-pagi di jalanan. Saya juga tidaklah lagi "berlumba" dengan Kak Ton, Maznan dan Cikgu Helma untuk mengejar mesin perakam waktu ( punch card ) di sekolah. Kami adalah di antara guru-guru yang tinggal agak jauh dari sekolah. Terima kasih kepada pihak sekolah dan Ahli Jawatankuasa Badan Keluarga SKBK diatas jamuan perpisahan yang diberikan pada 30 Disember yang lalu bersama cenderahati yang amat bermakna buat saya. InsyaAllah, seperti yang disarankan oleh Guru Besar SK Batu Kapor, Puan Hasidah Abu di dalam ucapannya agar saya membawa pergi segala yang manis ke tempat baru, sebaliknya tinggalkanlah segala yang buruk dan kurang enak sekiranya ada di tempat yang lama. Sempena dengan hari ulangtahun perkahwinan saya dan suami pada 25 Disember yang lalu, saya sempat juga membuat majlis "barbeque" kecil-kecilan, namun maaf kerana tidak dapat menjemput semua warga SKBK hadir pada malam tersebut.. Kepada semua guru-guru dan kakitangan serta anak-anak didik termasuk ibubapa di Batu Kapor, mohon maaf di atas segala kesalahan dan kesilapan saya kiranya ada di sepanjang saya menjadi warga di situ serta halalkanlah juga sekiranya ada yang termakan dan juga terminum terutamanya kepada pengusaha kantin iaitu Kak Memek serta kakitangannya yang telah saya rasakan bagai adik-beradik sepanjang saya berada di situ. Selamat tinggal SK Batu Kapor dan semoga warga SK Tanjung Batu menerima saya menjadi warganya untuk saya meneruskan perjuangan saya. Kalau dulu SK Batu Kapor, sekarang SK Tanjung Batu..masih tak lari dari siri "batunya" seperti gurauan Puan Hasidah di dalam ucapannya..hehe.. Kata suami saya, tiada ada alasan jauh lagi untuk saya memohon pertukaran, sebaliknya duduklah di situ sampai saya pencen..Ye ker?Jauh lagi masanya tu..Hanya Allah yang Maha mengetahui...

2 comments:

  1. Salam Kenal dari Aabid
    Ku tulis dan ku cipta Syair untuk mu teman blogger
    ku untai kata bagi teman blogger
    ilham kutuang jadi satu Canda ceria yang ku tunggu
    jadikan syair ini pengenal kita
    rindukan syair ini wahai teman setia.
    Kelak ku tiada pelepas rindu dan duka,
    Fatwa dalam blog ini yang selalu ku tulis
    jalan terang semua tempuhlah dengan pasti
    siapkan azam diri iman murni nilai hakiki

    ReplyDelete
  2. Hi Aabid...terima kasih kerana singgah di laman diari saya dan terima kasih juga untuk komennya..Salam Ukhwah

    ReplyDelete