Sunday, September 20, 2009

Sederhana Tapi Meriah

Mungkin untuk kesekian kalinya saya memberikan alasan "sibuk" dan "tiada masa" kerana tidak menulis di blog saya ini untuk jangkamasa yang panjang.Walaupun masa yang terluang itu sebenarnya boleh saya cari, namun dengan pelbagai halangan dan kekangan yang saya hadapi tetap menghalang saya untuk menulis di sini bagi satu jangka waktu yang tertentu. Kekangan yang pertama dan utama sekali adalah kerana kamera saya yang rosak.Juga kerana kekangan masa dan masalah yang saya hadapi, menyebabkan kamera tersebut tidak dapat saya hantar ke pusat servisnya untuk di perbaiki. Dan sehingga ke hari ini, ianya masih belum diperbaiki. Namun begitu,di hari lebaran ini saya mengambil kesempatan menggunakan kamera adik-adik dan juga anak-anak saudara saya. Begitu cepat masa berlalu, kita umat Islam sekali lagi menyambut hari lebaran. Selamat Hari Raya Aidilfitri ya, buat semua pembaca di sini. Mohon maaf zahir batin kiranya ada salah dan silap dalam tulisan saya selama saya menulis di sini.

Kami adik-beradik masih lagi beraya di Perak pada tahun ini. Pada mulanya suami saya tak mahu pulang ke Perak pada hari lebaran ini kerana tahun lepas kami telah beraya di sini. Walaubagaimanapun saya mohon pengertian dan pertimbangan untuk beraya di sini kerana semenjak saya tinggal di Pahang,saya amat jarang pulang ke Perak. Dalam setahun, mungkin dua dan paling tinggipun 3 kali sahaja saya saya berpeluang pulang ke Perak. Itupun tidak pernah melebihi 3 malam, kecuali semasa saya berpantang selepas bersalin melahirkan anak pertama dan kedua saya. Kalau saya beraya di Perakpun, hanyalah untuk dua malam,dan pada hari raya kedua pasti kami akan pulang semula ke Pahang. Lebaran kali ini tidak semua adik-beradik saya yang pulang. Kalau lebaran yang lepas saya menceritakan tentang riuh-rendah kami dengan rumah yang sempit, tapi kali ini, walaupun rumah telah bertambah ( rumah adik yang di beli berhampiran rumah ibu saya ), kami pula tidak ramai. Adik saya yang ketiga bersama isteri dan anak-anaknya telah pulang ke Thailand untuk beraya di kampong isterinya. Adik saya yang keempat pula beraya di Sungai Besar, Selangor juga untuk beraya di kampong isterinya. Manakala adik saya yang bongsu hanya pulang bersama 3 orang anaknya kerana isterinya terpaksa berhari raya di Hospital Kuala Lumpur kerana salah seorang anaknya telah dimasukkan ke wad hampir sebulan yang lalu.

Walaupun tidak ramai, lebaran yang disambut secara sederhana ini tetap meriah. Pada malam hari raya, seperti biasa kami perlu menyiapkan juadah untuk rombongan dari surau yang bertakbir dari rumah ke rumah. Oleh kerana rumah ibu saya bersebelahan dengan surau, maka tiap kali selepas takbir di surau, rumah ibu saya adalah rumah yang kedua untuk dikunjungi. Oleh itu, pada setiap malam hari raya, kami anak beranak akan menjadi amat sibuk menyediakan juadah sejak petang lagi. Hari ini kami tidak ke mana-mana melainkan berhari raya bersama-sama anak beranak kami di rumah selain menyambut dan melayan tetamu yang berkunjung. Seperti biasa, “tetamu kecil”lah yang paling ramai berkunjung ke rumah ibu saya. Oleh kerana pada tahun ini adik saya dan keluarganya telah mempunyai rumah sendiri di sini, “dapur kami" juga telah menjadi dua. Tambahan pula ibu saya kurang sihat, kami lebih banyak makan di rumah adik daripada di rumah ibu. Uniknya lebaran yang jatuh pada bulan September ini ialah ulangtahun kelahiran beberapa orang daripada ahli keluarga kami, termasuklah ibu saya. 16 September adalah hari lahir ibu saya, 17 haribulan adalah hari jadi Lili,pembantu rumah adik saya. 18 haribulan, hari lahir adik saya yang kelima iaitu Norisyam, 19 September pula adalah hari lahir Siti Aliya Maisarah, anak saudara saya yang kini terlantar di Hospital Kuala Lumpur dan pada 22 haribulan ini iaitu lusa adalah hari lahir anak sulung saya yang ke empat belas tahun iaitu Muhammad Ilyas Bin Rosli. Kami tidaklah menyambutnya secara besar-besaran, namun sebiji kek kecil yang ditulis dengan nama-nama mereka ini yang telah diaturkan oleh adik saya telah menjadikannya amat meriah dan bermakna sekali. Moga ibu, anak, adik, anak saudara serta Lili pembantu rumah adik saya dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki oleh Allah.


Di antara "tuan punya" kek harijadi..



Baby Ahdia yang makan...tapi kenapa Ahda pulak yang buka mulut ni..?Hehe..

Amboiiii..seronoknya main bunga api..!



Alamak..!Saya dah ada anak dara,lah..Aisyah (kanan) bersama sepupunya Aimima

Tahun ni Baby Zahrah berhari raya buat pertama kalinya..



Ampunkan Ahda ya Atok...!Atok tak sempat masuk ke rumah lagi, dalam perjalanan pulang dari mengerjakan Solat Sunat Aidilfitri..

Yang ni pun sama...Ampunkan Sarah ya Opah..!

No comments:

Post a Comment