Thursday, May 21, 2009

Yang Patah TumbuhYang Hilang Berganti

Sudah menjadi lumrah kehidupan, yang patahkan tumbuh, dan yang hilang pasti akan berganti. Begitulah dengan nasib bangunan kayu lama SK Batu Kapor ini yang akan digantikan dengan bangunan batu baru setinggi empat tingkat. Walaupun tapak bangunan kayu ini adalah tapak asal bangunan di sekolah ini, namun ianya telah beberapa kali mengalami penambahbaikan dan juga pengubahsuaian. Bangunan asal yang berbentuk sebuah bangsal, berdindingkan kulit kayu, beratapkan nipah dan berlantaikan tanah telah dibina di sini pada tahun 1947 hasil dari kerjasama dan gotong-royong penduduk Kampung Batu Kapor. Mukim Jalal Bin Tukang Taib yang juga merupakan Ketua Kampung Batu Kapor pada ketika itu adalah pengasas kepada bangunan yang telah didirikan. Bangunan ini akhirnya dikenali sebagai Sekolah Melayu Batu Kapor. Encik Ismail yang lebih dikenali sebagai Bilal Buyung Bin Haji Abdul Ghani merupakan tenaga pengajar yang pertama berkhidmat di sekolah ini. Beliau telah dibantu oleh Umi Salmah Binti Bilal Buyung, iaitu anak perempuan beliau sendiri.

Pada tahun 1948, bangunan ini telah berubah sedikit daripada beratapkan nipah kepada zing tetapi bentuknya masih kekal dalam keadaan yang asal. Menjelang tahun 1950, Sekolah Melayu Batu Kapor telah dinaikkan tarafnya kepada berdindingkan papan, beratap zing dan juga berlantaikan simen. Guru Besar yang pertama berkhidmat di sini ialah Cikgu Hussin dan pembantunya adalah Cikgu Hamid. Pada tahun 1967, sebuah bangunan setingkat dengan empat buah bilik telah dibina. Sekolah Melayu Batu Kapor telah bertukar kepada nama yang lain iaitu Sekolah Kebangsaan Batu Kapor. Menurut fakta yang didapati dari arkib sekolah ini lagi, pada tahun 1970 an, sebuah lagi bangunan tambahan dua tingkat telah dibina. Bangunan ini mempunyai tujuh buah bilik di sebelah atas manakala dewan dan dua buah bilik di sebelah bawah.
Pada tahun 2004, Sekolah Kebangsaan Batu Kapor menerima lagi dua blok bangunan baru setinggi tiga tingkat dan dua tingkat yang telah menempatkan dua buah bilik serta Makmal Sains di aras dua bagi blok bangunan dua tingkat dan Bilik Muzik, Pusat Sumber, Bilik Tayangan serta Pusat Akses di tingkat yang teratas bagi blok bangunan tiga tingkat. Bilik guru serta dua buah bilik pula terdapat di aras dua blok bangunan tiga tingkat, serta dua buah bilik, Bilik Bimbingan Dan Kaunseling, Bilik Gerakan serta Pejabat yang baru di aras satu blok bangunan 3 tingkat. Surau baru dan Bilik Pemulihan serta dua buah bilik terletak di aras satu blok bangunan dua tingkat, manakala di bahagian bawah sekali adalah lokasi bagi Dewan Terbuka SK Batu Kapor, Bilik Kesihatan serta Kedai Buku PIBG. Kantin dan Bilik Kemahiran Hidup pula terletak di aras paling bawah di blok bangunan dua tingkat.
Semenjak dari pembukaannya sehinggalah ke hari ini, murid Sekolah Kebangsaan Batu Kapor telah meningkat, begitu juga dengan bilangan guru, barisan pentadbir dan Guru Besar yang silih berganti serta para pekerja yang turut bertambah. Selama hampir tujuh tahun saya di sini juga saya sempat ditadbir oleh tiga orang Guru Besar. Terima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang telah menambah satu lagi blok bangunan 4 tingkat bagi Sekolah Kebangsaan Batu Kapor. Sementara pembinaan berjalan, sesi persekolahan terpaksa dibahagikan kepada dua kerana ketidakcukupan bilik darjah bagi menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran secara serentak dari tahun 1 hingga tahun 6



Diantara tenaga-tenaga pengajar dan pelajar-pelajar terawal SK Batu Kapor





Sebelum di robohkan....





Para Ibu bapa, guru-guru dan juga pelajar bergotong royong mengambil dan menyelamatkan barang-barang yang masih boleh diguna pakai sebelum bangunan dirobohkan.

Normasaadah di samping mural hasil karya Daniel pada dinding kelasnya
Azrah dan Norzyalina, mengabadikan kenangan....




Sayunya hati...telahpun dirobohkan







Pembinaan yang baru di tapak lama..

Tugu yang dibina sempena Jubli Emas pada tahun 2000


Senarai nama Guru Besar yang pernah berkhidmat sehingga tahun 2000..diikuti selepasnya Encik Khairuddin Othman dan Puan Hasidah Abu

No comments:

Post a Comment