Tuesday, January 27, 2009

Antara Yang Baru Dan Lama

Kali terakhir kami berkumpul beramai-ramai di Bidor ialah pada hari Raya Aidilfitri yang lalu, sehinggalah kami berkumpul semula pada hari Sabtu yang lalu bersempena dengan cuti perayaan Tahun Baru Cina.Walaupun tidak semua yang balik, riuh-rendah juga.Kalau sesiapa ada ada membaca kisah suasana pada hari raya dalam tulisan saya yang lalu, tentu masih ingat tentang keadaan kami yang begitu ramai sehingga terpaksa tidur dari pintu ke pintu. Sebenarnya,bertitik tolak dari itu, adik ipar serta adik saya terfikir untuk mencari rumah lain yang berhampiran dengan rumah ibu bapa saya. Bukannya apa, kalau balik ramai-ramai lagi, tak adalah penuh sesak sangat macam yang berlaku pada hari Raya Aidilfitri yang lalu. Anak-anak serta anak-anak buah makin membesar.Dalam keluarga saya, kebetulannya yang perempuan lebih ramai daripada yang lelaki.Anak-anak perempuan yang dah besar panjang tu, takkanlah nak tidur di ruang tamu lagi. Akhirnya,adik ipar saya membuat keputusan untuk membeli sebuah rumah yang jaraknya dalam 50 meter sahaja dari rumah orang tua kami. Rumah tersebut belum pernah diduduki oleh sesiapa, namun kerana lama tiada berpenghuni,ianya jadi seperti rumah terbiar.Setelah dibaiki dan diubah suai, jadilah ia sebuah rumah yang cantik dan selesa. Tiada siapa yang tinggal di sini, melainkan bila ada cuti panjang atau di hujung minggu.Sementara itu hanya emak dan ayahlah yang datang sekejap-sekejap menjenguknya.
Walaubagaimanapun, biar tidak sempit dan berasak di rumah emak dan ayah, terasa seperti ada sesuatu kekurangan. Ahli-ahlinya telah berbahagi dua.Menikmati sarapan, makan tengahari atau makan malamnya tidak lagi berkumpul setempat. Rumah emak dan ayah jadi lengang dan sunyi.Anak-anak saya sendiri, dua malam kami di sana, sekejap-sekejap sahaja berjumpa muka.Saya rindu pula pada suasana sesak, sempit, riuh rendah dan berebut-rebut ketika hendak makan atau ke kamar mandi. "Nikmat" sempit, sesak, berebut-rebut serta riuh rendah yang disulami tangisan anak-anak serta anak-anak buah itu kini tiada lagi..Pada hari Ahadnya, adik ipar serta adik saya membuat kenduri doa selamat menduduki rumah baru mereka. Di tumpang dengan majlis aqiqah anak adik perempuan saya yang kecil, Norisyam. Seronok juga sekali sekala berkumpul begitu kerana dapat kembali berjumpa dengan saudara-mara, orang-orang kampung dan juga rakan-rakan sekolah yang lama. Walaupun kenduri di kampung, menyediakan masakan dan makannya tidak lagi secara muafakat atau bergotong-royong.Ya lah, segala-galanya mudah sekarang ni.Cuma sediakan duit sahaja.Walau bagaimanapun, kemudahan teknologi serta dalam zaman serba-serbinya canggih ini, sedikit sebanyak tetap meragut nikmat kemesraan dan bekerjasama antara jiran. Kita pakai khidmat sajian secara “catering”. Kalau dulu rumah dibiarkan sahaja tanpa berpagar dan sesiapa sahaja tetamu yang boleh datang menjengah atau singgah, kini tidak lagi. Kini demi keselesaan, kecantikan dan yang paling penting untuk keselamatan, kita terpaksa membina pagar dan tembok setinggi berdiri.





2 comments:

  1. Okay Ida..kak mimie try lagi sekali..Cantik nya decor rumah ni!! Siapa decorate kan?Ada brapa bilik?

    ReplyDelete