Tuesday, November 11, 2008

Majlis Anugerah Lencana Bebas Denggi Untuk Pengakap Sekolah Peringkat Negeri Pahang

Pada hari ini berlangsungnya Majlis Anugerah Lencana Bebas Denggi untuk Pengakap Sekolah Peringkat Negeri Pahang, anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Pahang. Dalam tulisan saya yang lepas saya ada menceritakan serba sedikit tentang Program Bebas Denggi ini dan perlaksanaannya oleh Jabatan Pelajaran bersama-sama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang. Majlis berlangsung di Dewan Jubli Perak, Jalan Teluk Sisek, Kuantan Pahang. Majlis yang gilang-gemilang ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Hj Adnan Bin Hj Yaakob SSAP.,DSAP.,DGSM Menteri Besar Pahang. Program ini telah melibatkan sebanyak 23 buah sekolah dari seluruh Negeri Pahang. Bagi Daerah Temerloh, dua buah sekolah yang terlibat adalah SK Batu Kapor dan juga SK Temerloh Jaya.Sehari sebelum bertolak ke Kuantan, Syakri dan Suhaimi telah memberi taklimat ringkas kepada murid-murid yang terlibat dan berpesan kepada murid-murid semua supaya berada di sekolah seawal 6.30 pagi.Namun ada juga di antara mereka yang minta dihantar ke sekolah oleh ibu bapa mereka pada pukul 6 pagi. Saya dan Aminah Rohana juga sampai di sekolah lebih kurang pukul 6.30 pagi. Tiba di sekolah, bas yang akan membawa kami ke Kuantan masih belum tiba lagi. Budak-budak ni mulalah gelisah dan berkeliaran ke sana sini. Encik Azhar ( Pegawai Kesihatan Temerloh ) mula menelefon bertanyakan khabar sama ada kami sudah bertolak atau belum. Masing-masing mula agak bimbang kerana majlis dijangka bermula pada pukul 9.00 pagi.Perjalanan dari temerloh ke Kuantan mengambil masa lebih kurang dua jam juga. Akhirnya bas sampai juga lebih kurang dalam pukul 7.25 pagi baru kami bertolak ke Kuantan. Sepanjang perjalanan, budak-budak di dalam bas langsung tak tahu duduk diam. Macam-macam bau makanan ada di dalam bas tersebut. Kunyahan makanan mereka sama lajunya dengan pergerakan mulut mereka bercakap. Namun tidak selaju pergerakan bas yang kami naiki. Panggilan demi panggilan dari Encik Azhar terus saya terima yang bertanyakan lokasi kami berada. Maklumlah, jam dah hampir pukul 9 pagi namun kami masih belum juga tiba. Akhirnya, alhamdulillah, kami sampai juga ke destinasi yang dituju. Ketika itu ucapan YAB Menteri Besar Pahang hampir saja usai. Program Lencana Bebas Denggi Untuk Pengakap Sekolah ini merupakan program pengakap sekolah yang pertama di Malaysia melibatkan aktiviti pencegahan penyakit demam denggi. Ia telah di perkenalkan di Negeri Pahang mulai tahun 2006 melibatkan 3 buah sekolah di Daerah Kuantan iaitu SK Indera Mahkota, SK Cenderawasih dan SK Bukit Sekilau.

Sebahagian daripada ahli pengakap yang sedang melafazkan ikrar

Pasukan Pengakap SK Batu Kapor, MentakabYAB Menteri Besar Pahang ketika menyampai cenderahati kepada ahli pengakap


YH Dato' Hajjah Dr.Rosnah ketika menyampaikan cenderahati kepada pasukan pengakap SK Batu Kapor

Cetusan idea ini adalah daripada amatan yang di bawa balik oleh YH Dato’ Hasan Bin Abdul Rahman selaku Pengarah Kesihatan Negeri Pahang pada waktu tersebut hasil lawatan di Amerika Syarikat. Bagi memberi pengiktirafan kepada ahli-ahli pengakap terlibat, Majlis Anugerah Lencana Bebas Denggi Untuk pengakap Sekolah untuk ketiga-tiga buah sekolah tersebut telah diadakan pada 16hb November di Dewan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam ( Cawangan Pahang ).

Encik Azhar - Pegawai Kesihatan dari PKT Temerloh sedang memberi penerangan mengenai pameran kepada Y.H Dato' Hajjah Dr.Rosnah Binti Hj.Ismail, DPTJ, BKT, PJK


Sebahagian dari pameran yang disediakan oleh Pusat Kesihatan Temerloh

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato’ Hoh Khai Mun, DIMP selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Dan Alam Sekitar merangkap ADUN kawasan Bilut. Pada tahun 2007, peruntukan sebanyak RM 180,000 telah disalurakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk meneruskan projek ini di mana sebanyak 23 buah sekolah telah terpilih termasuk SK Baru Kapor yang melibatkan 1,042 ahli pengakap. Aktiviti telah dimulakan pada Oktober 2007 dan telah berakhir pada Ogos, 2008.

Pasukan Pengakap dari SK Baru Kapor dan SK Temerloh Jaya bersama guru-guru pembimbing dan juga Pegawai-pegawai dari Pusat Kesihatan Temerloh.

No comments:

Post a Comment