Friday, September 5, 2008

Terengganu Kita Indah

Saya memang gemar bermain-main dengan kamera semenjak saya berada di bangku sekolah rendah lagi. Tidak kiralah sama ada kamera yang saya miliki itu murah atau mahal harganya, saya sangat suka mengambil gambar-gambar pemandangan. Di mana sahaja saya pergi, pasti ada kamera di dalam beg saya. Begitu jugalah apabila saya melanjutkan pelajaran di maktab perguruan, saya masih tetap dengan kamera saya, sehinggalah suatu hari kamera saya itu tertinggal di dalam sebuah teksi di Kuala Lumpur. Namun, tidak lama selepas itu saya membeli semula sebuah kamera yang baru dan minat serta hobi sayapun diteruskan. Sekitar tahun lepas, (saya tidak ingat tarikh sebenar), melalui emel, saya telah dijemput untuk menyertai pertandingan fotografi anjuran The International Library Of Photography. Secara kebetulan, pada ketika itu saya baru sahaja balik bercuti dari Awana Kijal Beach & Golf Resort di Terengganu. Saya ada merakamkan beberapa keping gambar pemandangan dari sudut yang menarik di sekitar resort tersebut. Salah sekeping daripada gambar yang telah saya rakamkan itupun saya emelkan bagi menyertai pertandingan fotografi tersebut. Alhamdulillah, gambar tersebut telah terpilih sebagai salah satu daripada foto terbaik. Kepada warga Terengganu umumnya, tahniahlah sebab gambar pemandangan tersebut telahpun dicetak dan dibukukan dalam The Best Photos And Photographers Of 2007. Untuk penduduk Kijal dan Awana Kijal Beach & Golf Resort khasnya, saya dah tolong buat promosi percuma tau. Buku ini telah diterbitkan oleh The International Library Of Photography, 36000 Crondall Lane, Suite 101, Owing Mills, MD 21117. Haa...bertuahnya Negeri Terengganu Darul Iman kerana saya telah memperkenalkannya ke peringkat antarabangsa! Saya tidak mendapat apa-apa bayaranpun, sebaliknya saya yang terpaksa mengeluarkan wang untuk mendapatkan buku tersebut. Walaubagaimanapun, saya mampu membayar hanya untuk satu naskah sahaja kerana harga untuk sebuah buku ini adalah lebih kurang Rm 400 termasuk belanja pos. Awana Kijal Beach & Golf Resort kalau nakkan buku ni kenalah beli sendiri, ya. Gambar saya yang telah terpilih, saya beri tajuk "Miracle Malaysia". Pagi tadi, semasa saya tiba di sekolah, bungkusan kiriman buku ini telah menanti saya di pejabat.


Miracle Malaysia





2 comments:

  1. Tahniah. Kadangkala kita menyumbang bukannya di dalam bentuk wang ringgit tetapi gambar-gambar yang dianggap tidak beruna oleh sesetengah orang. Dengan tersiarnya gambar tersebut, ramai pelancong datang ke Terengganu dan ke tempat lain di negara ini. Wang yang mereka belanjakan dinikmati oleh ramai orang dan ianya bertambah dan bercambah.

    Tahniah.

    IN

    ReplyDelete
  2. IN yang saya hormati..terima kasih diatas komen dan perhatian yang diberikan.Semoga Malaysia akan gah di mata dunia..

    ReplyDelete