Thursday, September 4, 2008

Larian Mentakab-Temerloh Dan Klinik Asas Berbasikal

Dalam diam tak diam, tahun ini genap 51 tahun Negara kita mencapai kemerdekaan. Menghayati erti kemerdekaan itu terdapat dalam pelbagai cara. Pelbagai program dan aturcara telah dirancang sempena mengingati kemerdekaan pada kali ini. Di Temerloh, tempat saya juga tidak ketinggalan telah terlibat dengan pelbagai acara dan program. Salah satu acara terbesar yang diadakan di sini adalah Acara Larian Mentakab -Temerloh sejauh 10 kilometer yang telah diadakan pada 30 Ogos, 2008. Larian anjuran Persatuan Olahraga Amatur Temerloh ( POAT ) itu adalah kali yang ke-14 pernah dinjurkan dan akan tercatat dalam Buku Malaysia Book Of Records kerana mempunyai penyertaan paling ramai. Pihak penganjur telah menyediakan hadiah wang tunai sebanyak RM 20,000, serta pelbagai hadiah lain. Perlumbaan Lari Berganti-ganti Jalan Raya terbuka Kebangsaan Mentakab-Temerloh ini telah dibahagikan kepada kategori lelaki terbuka 20 tahun, wanita terbuka 20 tahun, lelaki terbuka 12 tahun, dan wanita terbuka 12 tahun. Kebanyakan daripada sekolah-sekolah rendah dan menengah di sekitar Daerah Temerloh telah mengambil bahagian dalam acara larian ini. Acara ini yang dimulakan pada tahun 1991 ini telah mencapai matlamatnya dengan melahirkan ramai atlet olahraga di peringkat negeri dan juga kebangsaan. Pada hari tersebut, murid-murid di sekolah saya juga telah tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam acara ini. Seramai lebih kurang 200 orang murid-murid SK Batu Kapor telah terlibat walaupun semasa pendaftaran, jumlah yang dicatatkan adalah lebih kurang 400 orang. Syabas kepada semua murid-murid dan guru-guru SK Batu Kapor yang terlibat dan diatas semangat kesukanan yang telah ditonjolkan. Acara penutup telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan sukan, Dato’ Ismail Sabri Yaakob di Stadium Temerloh.

Sebahagian daripada persembahan kebudayaan


Dalam masa yang sama, bertempat di Gelanggang Tenis Temerloh, juga berhampiran dengan Stadium Temerloh telah berlangsung Acara Pencarian Harta Karun & Klinik Asas Berbasikal. Seramai lebih kurang 20 orang pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Temerloh telah terlibat dalam acara ini. Oleh kerana saya sibuk di stadium bersama murid-murid saya, suami saya telah menemankan anak saya Siti Nur Sarah Zulaikha dari SK Bandar Temerloh di lokasi tersebut. Acara penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Datin Harlina Binti Arshad, iaitu isteri kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Siti Nur Sarah Zulaikha Binti Rosli

Catatan: Gambar-gambar untuk Program Klinik Asas Berbasikal adalah ehsan daripada Encik Mohd Feisal (Sinar Harian Unit Temerloh)

No comments:

Post a Comment