Sunday, June 8, 2008

Tiga Acara Tiga Destinasi

Hari ini adalah hari hari terakhir cuti sekolah untuk semester pertama 2008. Nampaknya esok saya dan anak-anak akan kembali ke sekolah. Kalaulah cuti boleh disambung lagi, seronoknya. Bayangkanlah kalau kita boleh cuti sahaja, rehat-rehat dan baring-baring di rumah, tapi bulan-bulan duit masuk.Hehehe..berangan pulak. Musim cuti ini saya anak beranak memang ‘Cuti-cuti Malaysia‘ betul..Poket pun dah kurus nih! Ada tiga acara ataupun peristiwa yang tidak sempat saya poskan di blog saya ini kerana terkejar-kejar ke sana ke mari, tambahan pula dengan talian internet yang tidak berapa baik dalam dua tiga hari ini. Oleh itu, saya akan gabungkan tiga cerita sekali gus dalam paparan cerita saya pada kali ini. Pertama,cerita kenduri di rumah ibu bapa saya di Bidor, Perak pada 31hb.Mei yang lalu, 3 hingga 5hb.Jun, cerita kami sekeluarga bercuti di Rompin dan akhir sekali saya dan rakan-rakan yang menghadiri majlis perkahwinan staf di sekolah saya, Cikgu Khairul Izdihar Ismail dan pasangannya Nur Diyana Abdul Talib, dari Dungun, Terengganu semalam di Kampung Bohor Baru, Bera, Pahang.



31hb.Mei,2008 di Bidor, Perak Darul Ridzuan

Saya sekeluarga balik ke sana sehari sebelum kenduri iaitu pada 30hb.Mei, 2008. Hari Jumaat , selepas maghrib kami bertolak dari Temerloh. Pada mulanya hendak terus ke Kuala Lumpur dahulu kerana hari telah malam, walaubagaimanapun saya dan suami rasa tentu perjalanan melalui Genting Highlands - Batang Kali tidak terlalu sunyi kerana waktu ini musim cuti sekolah. Kami yang hendak ke utara pasti memilih jalan ini kerana banyak kilometer yang dapat dijimatkan. telahan kami betul kerana memang banyak kenderaan yang melalui jalan itu pada malam tersebut. Kami meneruskan perjalanan tanpa henti dan alhamdulillah lebih kurang 9.40 malam kamipun tiba di Bidor, Perak. Semasa tiba, adik saya dan keluarganya yang tinggal di Ipoh sedang menikmati makan malam. Kamipun apalagi, tak sempat mengangkat beg atau apa, terus sahaja bersila untuk turut makanan bersama. Masakan emak yang hanya dapat dirasai sekali sekala, tidak akan saya lepaskan peluang tersebut. Sedapnya...masak lemak cili api ikan merah, ikan rebus goreng, sambal belacan serta sayur kangkung goreng. Sah malam itu kami tidak boleh tidur sampai pukul 3.30 pagi. Kenduri di rumah emak saya ini bukannya kenduri orang kahwin ke, atau ada yang bertunang. Emak sudah lama tidak buat kenduri jemput ramai-ramai macam ini dan kami dapat berkumpul adik-beradik, melainkan hari raya. Keesokan harinya majlis bermula dalam pukul 12.00 tengahari. Tetamu yang dijemput tidaklah terlalu ramai iaitu dalam lebih kurang 100 orang sahaja, selebihnya kami anak-beranak. Namun begitu, tidak semua adik-beradik saya yang balik dan entah bila pula akan berjumpa lagi.






3, 4 dan 5hb di Rompin Beach Resort, Kuala Rompin, Pahang.

Ini adalah kali kedua bagi saya dan suami ke Rompin manakala pengalaman pertama bagi anak-anak saya. Meskipun suami saya orang Pahang, beliau sendiri tidak pernah sampai ke Rompin jikalau tidak kerana menghantar saya berkursus dua tiga bulan yang lalu. Kami sudah 'booking' awal-awal lagi tempat ini sebab maklumlah musim cuti sekolah,biasanya penuh. Hari pertama sampai di sana tidak ada apa-apa aktiviti yang kami lakukan. Anak-anak saya tidak habis-habis mengingatkan pasal makan sahaja,hendaknya anak dara saya yang tengah, Siti Aisyah. Dia suka makan sedikit-sedikit, tetapi kerap. ke mana-mana pergi, hanyalah makanan yang ada dalam kepalanya. Hari kedua, pagi-pagi lagi selepas bersarapan saya dan anak-anak menghantar suami saya ke Golden Lanjut Beach & Golf Resort untuk pertandingan permainan golf anjuran Persatuan Anak Bera. Yang saya kenal dari Temerloh, hanyalah Zaidi kawan yang sama tempat kerja dengan suami saya. Selepas itu,kami pulang semula ke Rompin Beach Resort. Sambil menonton televisyen, kami empat beranak tertidur semula sampai tengahari. Sejuk sangat rasanya kerana hujan di luar ditambah dengan kedinginan penghawa dingin di dalam bilik. Dalam pukul 1.00 tengahari kami ke Golden Lanjut Beach & Golf Resort semula untuk menjemput suami yang telah habis bermain. Jarak dari Rompin Beach Resort adalah lebih kurang dalam 27km ke Golden Lanjut Beach & Golf Resort. Sebelah petangnya anak-anak saya mandi di kolam dan kemudiannya mandi di laut sehingga masuknya waktu maghrib. Keesokannya harinya kami pulang ke Temerloh melalui jalan Pekan-Kuantan.




Sebuah 'balai' yang terletak di Kampung Orang Asli Sabak, Rompin


yang menarik perhatian saya.



7hb.Jun di Kampung Bohor Baru, 28200 Bera, Pahang.



Saya pernah mendengar nama Bohor baru sebelum ini tetapi tidak pernah sampai ke sana. Oleh itu, sebelum pergi, sehari sebelumnya saya sudah berjanji dengan Syakri supaya pergi beriringan beramai-ramai supaya tidak sesat. Kamipun berjanji untuk berkumpul dekat dengan stesyen minyak Esso dekat jambatan Sungai Pahang dalam pukul satu. Apabila sampai di situ, hanya Syakri dan Aida sekeluarga dan Maznan serta keluarga telah pergi terlebih dahulu kerana telah lama menunggu kami di situ katanya. menurut seorang kawan saya, tempat yang saya hendak tuju itu memang jauh. Pada mulanya saya dan suami mendahului perjalanan,namun kerana kami sendiri tidak tahu di mana tempat itu, kami beri laluan kepada Syakri pula untuk di hadapan. kami pasti syakri tahu kerana dia begitu rapat dengan pengantin dan kerap ke sana ke mari bersama. Rasanya perjalanan kami sudah semakin jauh,tapi tidak juga sampai-sampai.Dari satu kampung ke satu kampung kami lalui, rumah pengantin tidak juga kami nampak. Perut mula lapar sebab sudah pukul 2 petang. Akhirnya jumpalah kami Felcra Bohor Baru dan meneruskan lagi perjalanan kami untuk mencari rumah pengantin.Hujan semakin lebat dan akhirnya tersesat juga ke sebuah rumah yang sudah tamat kenduri. Sampai di rumah pengantin, pengantin lelakinya sudah tidak seperti pengantin lagi. Hujan begitu lebat dan Khairul Izdihar basah kuyup menunggang motor menjemput sahabat yang sesat dan tidak berjumpa rumah di pertengahan jalan. hanya pengantin perempuannya sahaja yang masih berpakaian pengantin lagi. Maznan dan keluarganya masih belum makan dan makan bersama-sama kumpulan kami yang tiba kemudian. Sedang kami makan, GPK Ko-kurikulum sekolah kami sekeluarga pula tiba. Setelah selesai makan, kami bergambar di anjung rumah dan jangan tak percaya, pengantin lelaki hanya memakai t-shirt. Nanti pada gambar, akak letak anak panah besar-besar ya Khairul? Kalau tidak orang tak kenal mana satu pengantin lelakinya.Hehehe..Lepas bergambar, saya terlebih dahulu melangkah turun dari rumah Khairul kerana ingin meneruskan perjalanan kami ke Shah Alam, Selangor. Suami saya pula sakit perut sepanjang perjalanan dan ingat hendak mencari klinik terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Shah Alam. Betul kata Syakri, dek punyalah jauh perjalanan antara rumah Khairul ke Temerloh, kami lapar semula bila tiba di bandar. Untuk Khairul dan isteri, akak ucapkan SELAMAT PENGANTIN BARU, semoga berkekalan jodohnya hingga ke akhir hayat,insyaAllah.




Tips Buat Pengantin Baru


Allah s.w.t menjadikan setiap ciptaanNya berpasang-pasangan. Malam dan siang, langit dan bumi, daratan dan lautan serta banyak lagi contoh-contoh lain. Manusia juga diciptakan untuk memiliki pasangan masing-masing. Firman Allah s.w.t dalam Surah Yasin, ayat 36 yang bermaksud: “Maha suci Allah yang menjadikan semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan daripada sesuatu yang mereka tiada mengetahui.”Seseorang yang telah mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga harus sedar dan tahu kewajipan dan tanggungjawab yang akan dilaksanakan kelak. Membina sebuah keluarga bukan semudah yang disangka. Pelbagai ilmu dan pengalaman harus dikutip sepanjang tempoh perkahwinan sehingga ke akhir hayat. Yang paling penting, setiap pasangan sama ada suami atau isteri malah termasuk juga anak-anak tahu tanggungjawab dan peranan masing-masing.Suami diberi tanggungjawab yang amat besar sebagai pemimpin keluarga. Kepimpinan seorang suami bukan bermakna dia berkuasa melakukan apa sahaja. Apa yang dimaksudkan sebagai kepimpinan ialah seorang suami yang mampu memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya. Melayan isterinya serta keluarganya dengan baik, menjadi pelindung kepada keluarganya dan yang paling penting harus menjadi pendakwah dalam keluarganya.Untuk menerapkan nilai-nilai mulia dalam keluarga, suami harus mempunyai pekerti yang baik, menjaga setiap perlakuan dan sentiasa muhasabah diri. Akhlak yang baik ini akan menjadi ikutan kepada isteri dan anak-anaknya kelak. Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu memberi nasihat yang baik terhadap perempuan (isteri) denan cara yang baik, sesungguhnya mereka dijadikan daripada tulang rusuk paling atas. Sekiranya kamu cuba untuk meluruskannya, maka ia akan patah. Sekiranya kamu biarkan nescaya ia akan berterusan dalam keadaan bengkok.”Isteri juga mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam keluarga. Ketaatan dan kesetiaan seorang isteri menjamin kebahagiaan rumahtangga yang dibina. Isteri harus menjaga kehormatan dirinya semasa ketiadaan suami selain ikhlas dan sabar menjaga anak-anak dan harta dalam rumah tangga.Peranan isteri bukan sahaja memelihara apa yang telah disebutkan di atas. Selain daripada itu, seorang isteri yang baik akan sentiasa ikhlas menyayangi suaminya tidak kira semiskin mana atau serendah mana taraf antara suami berbanding isteri. Nilai hormat ini semakin pupus apatah lagi dengan tuntutan hidup masa kini yang menyebabkan isteri bersama-sama mengambil alih tugas suami dalam mencari nafkah. Seringkali, pengaruh luar rumah (persekitaran dan tempat kerja), akan mempengaruhi psikologi dan pandangan isteri terhadap peranannya yang sebenar sebagai penyeri rumah tangga.Apabila suami atau isteri tahu dan sedar tanggungjawab masing-masing, pembentukan keluarga sakinah akan tercapai. Sebuah keluarga yang sakinah bukan sahaja boleh dibentuk melalui peranan isteri dan suami malah meliputi anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Oleh itu, keluarga yang dibentuk harus padat dan lengkap secara berterusan dan konsisten mengamalkan nilai-nilai sakinah yang telah diunjurkan dalam al-Quran dan Sunnah.Rumah tangga lebih bermakna jika dijadikan tempat berdakwah bagi ahli keluarganya. Melaksanakan suruhan Allah dan taat pada setiap apa yang digariskan oleh Allah s.w.t dan seterusnya menguar-uarkan jaminan syurga kepada isteri dan anak-anak yang soleh dan solehah.Selain itu, rumah tangga juga menjadi tempat pengumpulan ilmu dan agar dapat menghasilkan insan-insan yang bijak dalam menilai sesuatu. Ilmu yang dikumpul boleh menghasilkan pusat nasihat-menasihati dalam keluarga yang sering menghadapi risiko pengaruh negatif dari luar. Insan-insan yang bijak yang lahir daripada keluarga sebegini akan menjadi masyarakat yang mantap akhlaknya, seterusnya membina pembangunan negara yang cemerlang.Seterusnya, rumah tangga yang sakinah akan menjadi pusat kemuliaan bagi keluarga yang lain. Memastikan keluarga menjadi contoh kepada keluarga yang lain memerlukan kerjasama setiap ahli keluarga. Ini adalah dakwah yang paling besar yang boleh dilakukan oleh institusi kekeluargaan dalam membentuk masyarakat yang madani dan hadhari.Kemuliaan dan keindahan dalam keluarga sakinah wujud hasil daripada nilai cinta kepada Allah secara berterusan. Penghayatan terhadap agama Islam secara konsisten dan tulus bermula daripada pekerti seorang suami dan isteri kepada anak-anaknya. Ketaatan kepada Allah menjadikan setiap hati manusia akan tunduk dan takut kepada seksaan di akhirat kelak. Setiap individu harus mempertingkatkan kefahaman berkaitan dengan konsep penghayatan Islam secara menyeluruh merangkumi peranan mereka sebagai pendakwah dan khalifah Allah di muka bumi ini. Dengan penghayatan ini, bukan sahaja kita dapat membentuk keluarga sakinah dengan mudah, malah secara keseluruhannya dapat pula membina dan membentuk sebuah negara yang ‘sakinah mawaddah warahmah’.



















































































3 comments:

  1. hahahahhahahahaha! cool giler

    from okie!!

    ReplyDelete
  2. Woi.. si shakri idup lagi ke..?? Aduh mak...!

    ReplyDelete