Monday, April 28, 2008

Tanda Kematian Dan Peringatan Dari Allah

Saya masih jarang naik ke tingkat 3 untuk mengajar mata pelajaran Pendidikan Muzik sejak kaki saya terseliuh tempohari. Saya mengajar di dalam kelas atau di Dewan Sekolah. Sementara murid-murid saya menyiapkan tugasan yang saya beri kepada mereka, saya berjalan mundar-mandir di dalam kelas memerhatikan mereka membuat kerja. Saya terpandang kepada satu artikel dari potongan akhbar yang ditampalkan di dalam belakang kelas. Saya pernah membaca artikel seumpama ini sebelumnya, namun lama- kelamaan saya lupa. Saya baca semula dan kali ini kita kongsi bersama di blog saya ini. Artikel bertajuk Tanda-tanda kematian…peringatan Allah sebelum waktu ajal yang disiarkan oleh sebuah akhbar dalam ruangan Pedoman ini adalah susunan Imran Mohamad Nor. Di bawah ini adalah sebahagian sahaja daripada artikel tersebut yang saya petik.

Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulama adalah benar dan wujud, cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulullah s.a.w diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara langsung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda. Imam Ghazali diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara sendirian. Walaubagaimanapun, semua tanda-tanda akan berlaku kepada orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah, nyawa mereka ini akan terus direntap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka terhadap Allah SWT. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT.

Tanda 100 hari sebelum hari mati

Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan menggigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti, kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati, maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Tanda ini akan berlaku sesudah waktu Asar. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.

Tanda 7 hari sebelum hari mati

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan dimana orang yang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari sebelum hari mati

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan dahi kiri. Jika tanda ini dapat dikesan, maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak bersinar lagi dan bagi orang yang sakit, hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari sebelum mati

Akan berlaku sesuadah waktu Asar dimana kita akan merasa satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir sebelum mati

Akan berlaku keadaan dimana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri serta menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikannya pula.

Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda-tanda di atas adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.Sesungguhnya marilah kita berdoa kepada Allah SWT semoga kita adalah diantara orang-orang yang dipilih oleh Allah SWT yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini. Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.

No comments:

Post a Comment