Tuesday, April 8, 2008

Program Menangani Gejala Disiplin Peringkat Daerah Temerloh 2008

Hari ini saya menjadi salah seorang daripada guru pengiring seramai 30 orang pelajar SK Batu Kapor selain daripada Cikgu Saiful, Cikgu Norzyalina ( Pengerusi Majlis ) dan Ustaz Tarabi ke program Menangani Gejala Disiplin Peringkat Daerah Temerloh 2008 yang diadakan di SMK Seri Semantan, Mentakab. Program yang sangat besar ertinya bagi pelajar-pelajar sekolah ini adalah satu program tajaan bersama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Majlis Aspirasi Pemangkin Negara ( MAPAN ) dan dikelolakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Temerloh bersama SMK Seri Semantan. Penyertaan adalah melibatkan sebanyak 9 buah sekolah yang terdiri daripada 350 orang murid ( pengawas-pengawas sekolah, ketua-ketua dan penolong kelas serta pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin ) bersama-sama dengan 32 orang guru. Sekolah-sekolah yang terlibat adalah:

  • SMK Seri Semantan
  • SMK Hwa Lian
  • SMK Mentakab
  • SMK Bukit Cermin
  • SK Batu Kapor
  • SK Abu Bakar dan
  • SK Desa Bakti

Matlamat program ini adalah untuk memberi input kesedaran disiplin dan pengedaran bahan kempen terus kepada pelajar sekolah menengah dan rendah supaya dapat memberi impak yang besar di kalangan pelajar keseluruhannya.

Ojektifnya pula:

  • Menyampai ceramah kesedaran disiplin kepada pelajar.
  • Memupuk semangat melalui ceramah dan pameran berhubung peranan dan tanggungjawab pelajar terhadap masa depannya, keluarganya dan negara.
  • Mengedar bahan kempen kepada pelajar-pelajar yang terlibat.
  • Mengadakan ceramah, pameran dan demonstrasi di sekolah berkenaan.

Dewasa ini sepertimana yang kita tahu, masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah amat berleluasa sekali. Tidak kira di sekolah rendah, mahupun di sekolah menengah, masalah disiplin di sekolah timbul setiap hari. Seingat saya, semasa saya di zaman bersekolah rendah, masalah disiplin seperti hari ini amat kurang sekali. Di antara salahlaku disiplin yang sering berlaku adalah:


  • Ponteng sekolah
  • Ponteng kelas
  • Vandalisme
  • Kurang sopan
  • Kenakalan
  • Tingkah laku lucah dan
  • Jenayah ( di luar sekolah )


Kemanusiaan manusia itu dibentuk melalui apa yang dilihat, apa yang didengar dan apa yang dibaca. Manusia boleh dilazimkan dan pelaziman itu memerlukan tempoh masa. Maksudnya, sesuatu tingkah laku manusia yang terbentuk itu bukanlah terjadi dalam sekelip mata. Ianya terjadi secara berperingkat. Kita sebagai guru, ibu bapa atau masyarakat yang bertanggungjawab seharusnya bersama-sama mengambil langkah bagi mengelakkan daripada berlakunya masalah disiplin. Bagi saya, segala-galanya adalah bermula dari rumah. Bentuk asuhan keluarga itu amat penting sekali, iaitu sama ada pucuk pimpinan keluarga itu mengamalkan asuhan berbentuk Ibu bapa authoritarian, Ibu bapa authoritatif, Ibu bapa yang mengabaikan anak ataupun Ibu bapa Indulgent. Persekitaran yang mempengaruhi seseorang individu termasuklah perapatan ( attachment ) individu dengan kedua orang ibu bapanyanya melalui asuhan dan interaksi, pengaruh adik beradik, ahli keluarga lain kemudian barulah guru, kawan-kawan, bahan-bahan media cetak dan media elektronik serta bahan daripada komputer.



Hubungan kekeluargaan yang rapat seperti sentiasa tahu kegiatan anak-anak, tahu apa yang mereka sedang buat, tahu di mana mereka berada serta tahu siapa kawan-kawan mereka, insyaAllah akan banyak membantu kurangnya masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah dan seterusnya dapat mengelakkan mereka daripada terlibat dengan masalah sosial yang lebih berat apabila mereka tidak lagi berada di alam persekolahan kelak. Selain dari itu, kita sedaya upaya perlu berusaha menjauhkan anak-anak atau pelajar sekolah daripada sebarang bentuk hiburan masa kini yang tiada nilai murni dan kebanyakannya hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Sekiranya mereka menjadi tidak terkawal, mereka akan terpengaruh di bawah unsur-unsur hedonisme iaitu suka kepada hiburan semata-mata tanpa memikirkan hal-hal yang lain. Saya membuat kesimpulan bahawa didikan agama yang cukup mantap dan bentuk asuhan keluarga yang sangat baik adalah sangat perlu sebelum anak-anak melangkah keluar daripada rumah dan berhadapan dengan seribu satu pengaruh, dugaan dan juga ancaman.

Di antara peserta program ( perempuan ) SK Batu Kapor

Sebahagian daripada peserta ( lelaki ) SK Batu Kapor

No comments:

Post a Comment