Saturday, April 5, 2008

Bebaskan Diri Kita Dari Bahaya Demam Denggi

Alhamdulillah, akhirnya saya sampai juga ke Rompin iaitu salah satu daerah yang terdapat di dalam negeri Pahang setelah hampir 8 tahun saya tinggal di negeri ini. Pada 2hb.April yang lalu, lebih kurang jam 2.30 tengahari saya tiba di Rompin Beach Resort bagi mengikuti Program Bebas Denggi Untuk Pengakap Sekolah anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Pahang bersama Jabatan pelajaran Negeri Pahang. Program pendidikan ini dibuat bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran golongan pengakap yang terlibat mengenai demam denggi serta aktiviti pencegahan dan pengawalan penyakit tersebut. Objektif program ini adalah untuk:
  • Untuk digunakan sebagai garis panduan oleh guru-guru pengakap sekolah yang dilantik sebagai pemudah cara dalam mengendalikan latihan kepada murid-murid di bawah program bebas denggi sekolah.
  • Untuk melengkapkan pemudah cara dengan maklumat-maklumat terkini berkaitan penyakit demam denggi supaya mereka dapat berfungsi sebagai tempat rujukan.
  • Mewujudkan hubungan dua hala di antara Jabatan Kesihatan dan juga Jabatan Pelajaran.

Program ini telah dilaksanakan hampir di seluruh dunia dan merupakan projek pilot di negeri Pahang dan yang pertama di Malaysia. Dato' Hasan Abd.Rahman yang telah melawat ke Amerika telah membawa idea ini untuk dilaksanakan di Negeri Pahang kerana mendapati pengakap di Amerika telah melaksanakan program ini dengan jayanya. Oleh itu, Unit Penyakit Bawaan Vektor Negeri Pahang telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya. Adalah diharapkan agar program ini dapat memberi faedah yang berterusan kepada generasi muda selain daripada dapat membantu dalam aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit demam denggi di lokaliti terpilih. Selain dari itu, program ini juga diharapkan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa demam denggi boleh membawa maut dan betapa pentingnya tiap individu mengambil peranan untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes. Kebanyakan dari tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes adalah kerana perbuatan manusia itu sendiri.






Dr.Yasin Bin Kamarul Jamal, A.M.N( kanan ) dan
Encik Firdaus Siau Bin Abdullah ( kiri ) .

PPKP Mohd.Azhar Bin Omar dari PKD Temerloh


Saya secara individu, amat menyokong program ini kerana ianya akan memberikan impak yang sangat baik kepada pelajar-pelajar terutamanya golongan pengakap sekolah. Saya juga tahu bagaimana tersiksa dan sakitnya apabila menghidap demam denggi kerana pada tahun 2004, semasa saya mengikuti kurus Pengurusan Sumber selama 3 bulan di Kuala Lumpur, saya dengan kawan-kawan telah menyewa sebuah kondominium di Bandar Permaisuri. Di sinilah saya telah mendapat demam denggi yang sangat teruk. Saya hampir tidak berdaya untuk berjalan dan suhu badan saya sangat tinggi. Saya balik ke Temerloh dan dimasukkan ke wad di Hospital Mentakab. Walaubagaimanapun, saya bersukur kerana tidak mendapat demam denggi berdarah dan masih bernafas sehingga ke hari ini.






Sebahagian daripada peserta lelaki
( terdiri daripada guru-guru dan kakitangan
Jabatan Kesihatan )

Sebahagian daripada peserta perempuan



Bagi sesiapa yang membaca tulisan saya pada saat dan ketika ini, marilah kita bersama-sama berazam untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes bermula dari rumah kita sendiri bagi mengelakkan berlakunya penyakit demam denggi. Penyakit Demam Denggi dan Demam Denggi Berdarah adalah disebabkan oleh virus denggi. Ia merupakan satu masalah kesihatan awam di rantau Asia dan Asia Tenggara, Kepulauan Caribean dan lain-lain kawasan tropika di seluruh dunia. Virus Denggi disebar oleh sejenis nyamuk, genus aedes dan telah menyebabkan penyakit dan kematian kepada berjuta-juta manusia terutama kanak-kanak. Faktor-faktor yang menyebabkan merebaknya penyakit ini ialah seperti urbanisasi yang tidak terkawal, perpindahan penduduk ke kawasan bandar, kebersihan alam sekitar dan pendidikan kesihatan masyarakat yang kurang sempurna, kesulitan dan kos yang tinggi dalam usaha mengawal nyamuk dan juga tiadanya satu vaksin yang berkesan terhadap penyakit ini.



Peserta dari Krayong dan Muadzam Shah


Jamuan makan malam steambot di Restauran RBR


Selain dari mencegah pembiakan nyamuk aedes, betapa pentingnya tiap individu itu untuk mengetahui bahawa mendapatkan rawatan dengan segera boleh mengurangkan kadar penyakit demam denggi berdarah seterusnya mengelakkan kematian. Kita perlu tahu tentang tanda-tanda penyakit demam denggi berdarah iaitu demam berturut-turut ( dua hingga tujuh hari ) dan mungkin diikuti dengan "anorexia", rasa hendak muntah, muntah, sakit perut serta tanda-tanda lain berunsur berdarah ( terdapat bintik-bintik merah di muka kulit dengan berterusan, hidung dan gusi berdarah, muntah "coffee ground" atau membuang najis berwarna hitam ). Pesakit-pesakit masih dalam keadaan sakit walaupun suhu badan menurun dan kulit-kulit mereka sejuk, tidak tenang ataupun rasa mengantuk ( Dipetik dari Manual Modul Pendidikan Dan Latihan Dalam Program Penganugerahan Lencana Bebas Denggi Oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang ).

2 comments:

  1. program ini amat menarik walaupun dah lama....adakah masih aktif program ini di Pahang...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya rasa.di Temerloh mmg tiada lg program seperti.ini,tambahan pula En Mohd Azhar Omar yang aktif bersama.kami.dulu telah bertukar ke daerah lain.Program ini mmg.sangat bagus..sy sendiri terlibat.secara langsung dgn murid2 mencari jentik2 dari rumah.ke rumah.Secara tidak langsung,murid jatuh minat dan rasa bertanggungjawab untuk menghapuskan jentik2 yg dapat menghalang pembiakan.nyamuk .aedes.Saya sokong jika.program ini.diaktifkan.semula

      Delete