Saturday, March 22, 2008

Kritikan-kritikan Panas Dan Pedas Dalam Program AF

Saya memang meminati muzik sejak berada di zaman kanak-kanak lagi. Walaupun bukanlah peminat atau pengikut muzik yang fanatik, saya masih mengikuti perkembangannya. Tidak semua program realiti tv yang sempat saya ikuti, namun program realiti tv seperti Akademi Fantasia memang saya ikuti semenjak dari rancangannya yang pertama lagi. Kritikan dari juri-juri terpilih selepas pelajar akademi membuat persembahan sepatutnya diterima secara positif oleh semua pihak terutamanya pelajar-pelajar itu sendiri. Malam ini kita dapat dengar kritikan-kritikan yang panas dan amat pedas dari Ajai dan juga Ogy Ahmad Daud. Kebenaran itu memang pahit untuk diterima. Juri tidak boleh menipu para pelajar atau masyarakat untuk memilih jalan selamat dengan memberikan komen yang tidak setara dengan kemampuan pelajar. Untuk memberi komen yang benar dan tepat, saya amat menyokong sekiranya juri-juri tersebut dipilih dari kalangan mahir supaya mereka benar-benar tahu apa yang mereka komen. Oleh itu pemilihan salah seorang daripada juri profesional seperti Ajai pada malam ini adalah wajar. Diharapkan pada konsert-konsert yang akan datang, pihak Astro akan memilih juri-juri seperti Syafinaz, Adnan Abu Hassan dan lain-lain. Pendek kata, biarlah mereka yang ada ilmu tentang muzik dan seni persembahan yang menjadi juri-jurinya. Mereka yang tahu tentang peraturan dan 'hukum-hakam' yang terdapat di dalam muzik itu sendiri.


Semasa belajar di maktab perguruan dulu, saya memang di dalam opsyen muzik. Bila saya kata saya belajar dalam jurusan muzik, janganlah bayangkan saya ni mahir dan pandai bermain dalam kesemua alat muzik. Setelah tamat belajar, kami akan menjadi guru pendidikan muzik di sekolah rendah, bukanlah untuk menjadi seorang penyanyi atau pemuzik terkenal. Di antara kebaikan untuk mempelajari muzik adalah mengajar kita mematuhi 'disiplin' selain dari memperolehi nilai murni atau moral yang terdapat di dalam sesebuah lagu itu. Oleh itu, bila bercakap tentang 'disiplin' dalam muzik, walaupun di peringkat sekolah rendah apatah lagi di peringkat yang lebih tinggi, disiplin-disiplin seperti tempo, pitching, vibrato, falseto, level of confidence dan entah apa macam disiplin lagi perlulah dipatuhi dan sangat penting dalam sebuah nyanyian dan persembahan. Semasa di maktab dulu, 'komen maut' dari pensyarah saya selepas membuat sesuatu persembahan nyanyian adalah yang paling saya geruni. Paling saya tak boleh lupakan sudah tentulah Encik Johami Abdullah, pensyarah koir dan nyanyian kami. Mak aii...bisa paling berbisa dan malunya kalau terkena. Tak ada sesiapapun yang terlepas dari kena hentam dan kena komen sebab persembahan kami dirakam. Masa buat post-mortem, menangislah dibuatnya sebab beliau akan pause video dan hentam satu-satu. Pensyarah yang mengajar alat muzik gitar seperti Encik Nicky Chin pun tak pernah saya lupakan. Pernah kami mengadu kat KJ kerana kelancangan mulutnya memaki hamun kami.


Punyalah takut dengan pensyarah-pensyarah ni, saya dan 4 orang geng serumah mengambil inisiatif dengan mengikuti kelas Yamaha Music di Jalan Dang Wangi, KL. Masa tu saya dan kawan-kawan saya tu mana ada kereta lagi, bas dengan teksilah yang setia mengangkut kami kemana sahaja kami pergi. Bayangkan, kalau masa teksi tak ada lalu, naik bas la kami mengusung gitar ke Jalan Dang Wangi tu. Dalam bas, macam-macam orang ramai mengusik dan menyakat kami. Ayat-ayat nakal yang tak pernah saya lupakan sampai hari ni ialah 'Kak, goreng satu lagu kak!' Hehehe..Namun di saat ini, saya rindukan suasana dan saat-saat seperti itu. Malah, saya amat berterima kasih dengan kritikan-kritikan pedas dan 'maki hamun' dari pensyarah-pensyarah saya dulu tu. Segala ilmu yang saya terima amat berguna sehingga ke hari ini walaupun kadang-kadang ada datang rasa jemunya untuk mengajar subjek muzik terutamanya apabila terdapat di kalangan murid-murid yang tidak berminat dalam mata pelajaran ni. Kalau boleh rasanya tak naklah sampai ke tua pulak mengajar mata pelajaran pendidikan muzik. Takutnya, jadi nenek rocklah pulak satu hari nanti,hehehe..Sebabtu lah masa buat PJJ sekarang ni saya tak ambil muzik sebagai subjek major, sebaliknya sebagai subjek minor sahaja. Budak-budak sekolah rendah ni, time nyanyi diaorang suka, tapi bila masa belajar teori yang ramai tak berapa minat.


Saya pulak masa di maktab dulu waktu gerko muzik lah yang paling saya liat sikit. Nak tahu kenapa? Dalam gerko muzik saya kena masuk orkestra maktab. Dalam orkestra saya kena main violin dan masa tu saya tak berapa minat dan mahir main alat tu. Bila dah tak minat, usaha untuk penambahbaikannya pulak kurang. Sampai la hari ni saya tak pada minat alat muzik tu dan memang sah dah tak boleh memainkannya lagi! Apapun, kenangan dan memori yang terindah sebahagian daripada lipatan sejarah hidup saya ada di situ. Pensyarah-pensyarah yang saya hormati semoga berada di dalam keadaan sejahtera sentiasa di mana sahaja anda berada. Terima kasih buat Pn.Ramlah Mohamad( kini di Kementerian Pelajaran ), Pn.Latifah Mahamud(juga di Kementerian Pelajaran), Prof.Madya Ahmad Fuad dan Prof.Madya Zaharul Lalidin Saidon di UPSI, En.Mah Kok Heng, Encik Nicky Chin, Encik Stephen, Encik Azlan (bekas anggota kumpulan Brain Connection), Encik Johami Abdullah, Pn.Rokiah, Encik Sazali, Encik Zulkifli Wagini dan lain-lain lagi yang tidak dapat saya nyatakan kesemuanya di sini, jasa-jasamu tetap di kenang....

1 comment:

  1. Salams. Hi there. Glad you remember me perhaps for the wrong reasons. Wish you well in your career.

    Johami Abdullah.

    ReplyDelete