Thursday, January 3, 2008

Hari Pertama 2008

Nampaknya hari ni adalah hari yang paling sibuk buat guru-guru di sekolah, begitu juga dengan ibu bapa, terutamanya yang mempunyai anak yang belajar di Pra-Sekolah, di Tahun 1 mahupun di Tingkatan 1 kerana hari ini adalah hari pertama persekolahan buat murid-murid Pra-Sekolah dan Tahun 1 serta hari pertama berada di alam persekolahan peringkat menengah bagi murid-murid Tingkatan 1. Walaupun hari pembayaran yuran telahpun berlalu pada 2 Januari iaitu semalam bagi kebanyakan sekolah, namun hari ini masih kelihatan ramai lagi ibu bapa yang membuat pembayaran kerana mungkin pada hari semalam mereka tidak berkesempatan untuk berbuat demikian.

Warga SK Batu Kapor,Mentakab hari ini merasa amat bertuah kerana di dalam kesibukan, kami telah dikunjungi oleh YB Dato Hj.Mohd.Sarit Bin Hj.Yusoh iaitu Ahli Parlimen Temerloh. Turut sama hadir mengiringi kedatangan YB Dato Hj. Mohd. SaritSarit ini adalah Yang Berbahagia Dato Saifuddin Bin Abdullah selaku Naib Ketua UMNO Bahagian Temerloh, wakil dari Pejabat pendidikan Temerloh iaitu Ustaz Ishak Bin Md.Bakar , Encik Zamri Bin Sulaiman selaku Pengerusi JKK kampung Batu Kapor dan juga Encik Rus Bin Mat iaitu Yang DiPertua PIBG SK Batu Kapor selain dari Encik Khairudin Bin Osman selaku Guru Besar , Tn.Hj.Abu Bakar Bin Abd.Kadir selaku Guru Penolong Kanan 1, Encik Helmaterlidi Bin Osman selaku Guru Penolong kanan Ko-Kurikulum dan juga semua guru-guru Tahun 6 bersama 20 orang calon murid cemerlang bagi sesi persekolahan tahun ini.

Agenda utama kedatangan YB Dato Hj. Mohd. Sarit ke SK Batu Kapor adalah untuk menyampaikan cenderahati kepada seorang daripada pelajar sekolah ini yang telah mendapat keputusan yang sangat cemerlang daripada 13 orang yang terbaik dalam peperiksaan UPSR tahun 2007. Pelajar yang dimaksudkan adalah adik Norzila Binti Mohamad Zain yang telah diangkat menjadi pelajar terbaik UPSR Peringkat Negeri Pahang bagi tahun persekolahan 2007.Adik Norzila yang diiringi ibunya Puan Suriati Binti Che Ibrahim telah berjaya memperolehi peratus kelulusan yang amat memberangsangkan iaitu 98.8 peratus dan telah mendapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Sekolah Tun Fatimah , Johor Baharu. Syabas dan tahniah buat adik Norzila!

Adik Norzila Binti Mohamad Zain

Dalam ucapan yang disampaikan oleh YB Dato Hj. Mohd. Sarit, beliau telah menyatakan rasa kegembiraannya kerana salah seorang daripada anak didik di bawah Parlimen Temerloh telah berjaya mengharumkan nama Temerloh di dalam bidang pendidikan. "Siapalah Norzila" kalau beliau tidak pandai dan cerdik kerana adik Norzila datang dari keluarga penoreh getah. Bapa kepada Norzila adalah seorang penoreh getah. Ayuh adik-adik pelajar di luar sana, ambillah contoh tauladan dan iktibar dari kejayaan adik Norzila ini bahawa kemiskinan bukanlah penghalang kepada kejayaan dan kekayaan pula bukanlah merupakan satu tiket untuk meraih kejayaan. Di mana ada kemahuan, disitulah adik-adik akan menemui jalannya. Sekali lagi, sekalung tahniah buat ibu adik Norzila yang melahirkan beliau serta kepada semua sahabat guru saya yang telah bertungkus lumus untuk memastikan murid-murid SK Batu Kapor maju jaya dan cemerlang di dalam pelajaran. Majlis yang serba ringkas, padat dan bermakna yang telah dipengerusikan oleh Puan Norzyalina Sukarmin selaku Guru Bimbingan & Kaunseling SK Batu Kapor ini telah mendapat liputan dari wartawan Sinar Harian.






No comments:

Post a Comment